Utusan Borneo (Sarawak)

Pesawat terhempas: Juruterban­g dan pelatih dikenal pasti

-

IPOH: Dua mangsa pesawat ringan jenis Cessna 172 (9M ADA) yang terhempas di kawasan ladang kelapa sawit di ladang Besout 2 Tambahan, Sungkai dekat sini merupakan jurulatih penerbanga­n dan pelatih.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata Kapten Shahrul Imran Surea, 26, yang beralamat di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur disyaki patah kaki kanan, manakala Ho Jia Lee, 20, beralamat di Lahat, Perak mengalami bengkak muka di sebelah kanan.

“Pesawat adalah dari Syarikat Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd, Ipoh.

“Pesawat bergerak dari Ipoh ke Tg Karang pada 7.59 pagi tadi (semalam) untuk latihan penerbanga­n, kemudian berpatah balik ke Ipoh dan terhempas di lokasi jam 9.30 pagi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata kedua-dua mangsa telah dibawa keluar dari lokasi kejadian.

“Kita terima panggilan kecemasan pada 9.46 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan bantuan BBP

Bidor telah dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 20 kilometer dari jalan besar,” katanya.

Terdahulu, video kejadian itu tular melalui aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Mohd Yusri pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Raya MADANI bersama Warga Unit 69 Komando, Pasukan Gerak Khas, di Ulu Kinta yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam berkata pihak polis kini sedang mengawal lokasi kejadian itu.

“Anggota masuk untuk beri bantuan dan mengawal keadaan serta memastikan tiada orang awam memasuki lokasi kejadian untuk kita bantu dalam siasatan. Mungkin pihak CAAM (Pihak Berkuasa Penerbanga­n Awam Malaysia) akan ke sana untuk jalankan siasatan,” katanya.

Terdahulu, CAAM mengesahka­n sebuah pesawat Cessna 172N Skyhawk dengan nombor pendaftara­n 9M-ADA terhempas dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementeria­n Pengangkut­an mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbanga­n Awam 2016. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia