Malaysia langkah kanan
Zii Jia mulakan rentak kemenangan selepas menewaskan pemain nombor 15 dunia, Lee
CHENGDU: Malaysia bermula cemerlang pada perlawanan pembukaan Kumpulan D Piala Thomas 2024 mereka, dengan menewaskan Hong Kong 5-0 di Pusat Sukan HighTech Zone, Chengdu di sini semalam.
Pemain profesional lelaki negara, Lee Zii Jia memulakan rentak kemenangan selepas berjaya menewaskan pemain nombor 15 dunia Lee Cheuk Yiu, pada set pertama dengan mata 21-18.
Walaupun pada set kedua, Cheuk Yiu kelihatan lebih mengawal perlawanan dan membawa permainan terikat ke 15-15, namun pemain Malaysia berusia 26 tahun itu berjaya meneruskan rentak permainan baiknya dan menang 21-18, serta memberikan mata pertama kepada Malaysia.
Juara dunia beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik kemudiannya memberikan mata kedua negara, selepas
dengan mudah mengalahkan pasangan Law Cheuk HimYeung Shing Choi 21-16, 2112 dalam masa 27 minit.
Kemenangan Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik itu memberikan semangat kepada
pemain perseorangan kedua negara Leong Jun Hao (ke-37 dunia), untuk mengejutkan pemain ke-27 dunia Angus Ng Ka Long pada pertemuan sulung mereka dalam perlawanan yang berlangsung 61
minit.
Walaupun beliau tewas set pertama 17-21, pemain berasal dari Kuala Lumpur itu melakukan kejutan pada dua set berikutnya dengan menang 21-12, 21-15, dan seterusnya memberikan mata kemenangan 3-0 buat Malaysia.
Kemenangan Malaysia itu diteruskan lagi dengan naib juara beregu lelaki Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadikan kedudukan 4-0 selepas terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan pasangan Reginald Lee-Tang Chun Man, 21-19, 21-18.
Sementara Justin Hoh yang buat pertama kalinya mewakili negara di Piala Thomas, menjadikannya 5-0 selepas terselamat perlawanan tiga set menentang Chan Yin Chak, 21-17, 19-21 dan 21-17.
Juara lima kali Malaysia, akan layak ke suku akhir sekiranya dapat mengalahkan Algeria pada pertemuan kedua sebelum menamatkan perlawanan dalam Kumpulan D mereka dengan berhadapan juara 2016, Denmark pada Selasa ini. — Bernama