KKJTHB Sibu lahir ramai anak yatim berjaya dalam pendidikan: Yusnar
Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang (KKJTHB) Sibu telah melahirkan ramai anak yatim yang berjaya dalam pendidikan sejak penubuhannya.
Menurut Pengerusi KKJTHB Dato Mohamad Yusnar Matalie, seramai 11 penghuni kompleks berkenaan pada tahun lepas berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik.
Manakala, seorang kini berada di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor bagi melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang geoinformatik, tambahnya.
“Kita bukan sahaja menyediakan tempat tinggal, pakaian, makan dan minum untuk mereka, malah turut memastikan anak-anak di sini mendapat pendidikan yang sempurna.
“Kita harap, dengan kecemarlangan yang ditunjukkan oleh abang dan kakak mereka, anak-anak yang lain akan turut mengikut jejak langkah itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Istimewa Syawal bersama KKJTHB anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Cawangan Sibu di KKJTHB, semalam.
Di samping aspek akademik, Yusnar berkata kemenjadian anak-anak yatim dari segi kokurikulum dan bakat diri turut diberi perhatian khusus.
Katanya, beliau sentiasa menggalakkan anak-anak yatim di kompleks berkenaan bergiat aktif dengan aktiviti sukan dan lain-lain yang boleh meningkatkan keyakinan diri mereka.
“Mereka telah kehilangan orang tersayang dan ini sudah pasti menyebabkan mereka hilang sedikit keyakinan diri.
“Sebab itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membangkitkan keyakinan anakanak ini dengan pelbagai program dan aktiviti di kompleks ini,” katanya.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak MTPN Cawangan Sibu kerana sudi bekerjasama dengan KKJTHB dalam pelbagai hal termasuk pendidikan.
Sementara itu, majlis diserikan dengan kehadiran Kaunselor Syed Hamzah Datuk Wan Hamid mewakili Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce dan Datuk Robert Ting King Hung.
Turut hadir dan memberi ucapan ialah Pengerusi MTPN Cawangan Sibu Lucas Lau.