SDNU akan memasang papan tanda Rumah Dayak
Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) akan memasang papan tanda Rumah Dayak di atas blok kedai empat tingkatnya di Satok di sini.
Papan tanda itu kini sedang dibuat di sebuah kilang sementara menunggu pemasangan, kata Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.
Adalah menjadi harapan kesatuan itu bahawa ia akan dipasang sebelum sambutan Gawai Dayak 2024, kata Mawan yang juga penasihat di Pejabat Premier Sarawak, yang menyelia industri makanan, komoditi dan pembangunan wilayah.
Projek blok komersial itu sentiasa dinamakan Rumah Dayak sejak peletakan batu asasnya pada 1997.
Bersebelahan dengan blok lot kedai yang telah siap
sepenuhnya itu akan menjadi menara pejabat, katanya.
“Pembinaan menara pejabat telah dihentikan tetapi SDNU merancang untuk menyambung semula kerja dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau mengakui projek Rumah Dayak telah terhenti sejak sekian lama, namun beliau memilih untuk tidak
melihat ke belakang kepada sejarah sebaliknya bergerak ke hadapan.
“Semuanya akan baikbaik saja pada akhirnya. SDNU akan memindahkan ibu pejabatnya dari Batu Kawah ke Satok tidak lama lagi. Kami akan mempunyai rumah baharu dan sesuai,” katanya sambil menunjukkan gambaran artis mengenai papan tanda di atas blok lot kedai berkenaan.
Rumah Dayak lama yang dibuka pada 26 Disember 1969 oleh Ketua Menteri ketika itu Dato Penghulu Tawi Sli adalah lambang kebanggaan masyarakat Dayak sebelum dirobohkan pada 1997.
Sementara itu, Mawan mendedahkan SDNU akan mengadakan pesta makanan hujung minggu pada 3 hingga 5 Mei.
“Ini adalah sumbangan kecil kami terhadap keseluruhan perayaan Gawai Sarawak tahun ini supaya ia lebih meriah,” katanya.
Pesta makanan SDNU itu akan dilancarkan jam 7 malam pada 3 Mei (Jumaat), lengkap dengan persembahan kebudayaan, konsert artis tempatan, pertunjukan bunga api dan banyak lagi, kata Mawan.
Program sampingan lain yang dibarisi untuk acara pesta makanan termasuk pertandingan nyanyian karaoke terbuka, pertandingan wain beras asli atau tuak (kedua-dua program pada 4 Mei) dan sesi cabutan bertuah (5 Mei).
Pelbagai makanan dan minuman serta barangan menarik akan dijual pada hujung minggu tersebut.
Borang penyertaan untuk pertandingan nyanyian karaoke terbuka dan pertandingan tuak boleh didapati daripada Conrad Inti Robin (019-8756160) dan Churchill Edward (0178081485).
Untuk maklumat terperinci dan lanjut, mereka yang berminat dinasihatkan menghubungi Catherine Kechendai (013-8012708), Norina Emas (019-4399413), Gerard Joseph (019-3921217) dan/atau Wilfred Mujah (019-8885311).