Utusan Borneo (Sarawak)

Cadangan penetapan had umur atlet prestasi tinggi perlu kajian

-

KUALA LUMPUR: Kajian menyeluruh perlu dilakukan sekiranya mahu menetapkan had umur bagi atlet berprestas­i tinggi, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Malaysia (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Beliau berkata umur bagi atlet prestasi tinggi bermula pada usia 17 tahun selepas mereka menamatkan alam persekolah­an dan lazimnya memerlukan tiga kitaran Olimpik atau 12 tahun bagi mereka mencapai kemuncak prestasi.

“Umur bawah 17 tahun masih dalam proses pembentuka­n dan pembanguna­n bakat, kita masih sedang mengasah bakat itu. Selepas itu, baru mula tempoh persaingan, bersaing dengan atlet lain, di sini baru kita tahu sejauh mana atlet ini boleh pergi.

“Contohnya, Datuk Lee Chong Wei mula menyertai Olimpik pada 2004 (ketika berumur 22 tahun), berakhir pada Rio 2016 dengan kemuncak prestasi (pada umur 34 tahun, sebelum bersara pada 2019),” katanya ketika sesi libat urus Visi Sukan Negara (VSN) 2030 mengenai Sukan Prestasi Tinggi yang diadakan secara maya semalam.

Ahmad Shapawi berkata demikian sebagai menjawab cadangan menetapkan had umur bagi atlet berprestas­i tinggi yang dikemukaka­n oleh seorang peserta sesi libat urus itu.

Beliau berkata terdapat juga sukan seperti menembak, boling dan boling padang yang perlu diambil kira dengan kebiasaan atlet menjadi lebih matang dan bertambah baik seiring peningkata­n umur menerusi pengalaman yang diperoleh mereka.

“Jadi contohnya kalau nak menurunkan ke 24 atau 25 tahun, mereka belum cukup matang. Kita masih ada atlet berumur 29 atau 30 tahun yang berada pada prestasi baik,” katanya.

Pada sesi selama tiga jam itu yang melibatkan hampir 300 peserta daripada pelbagai peringkat, Ahmad Shapawi turut mengakui wujudnya ketidaksei­mbangan dalam meneruskan pembanguna­n bakat sukan dari peringkat sekolah ke universiti yang perlu diberikan tumpuan.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) telah menggerakk­an Sistem Pengurusan Sukan Bersepadu bagi merekodkan datadata berkaitan sukan dan pembanguna­n bakat di pelbagai peringkat dari seluruh negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia