Kerjasama strategik PTPTN dan Binary University bantu pelajar B40, M40
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Binary University telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meringankan beban kewangan pelajar ke arah memperkasa pendidikan tinggi negara.
Menerusi kerjasama itu, pelajar B40 dan M40 akan menerima subsidi yuran pengajian dan mendapat kemudahan pinjaman PTPTN apabila melanjutkan pengajian di universiti tersebut bagi kemasukan 2021/2022.
Subsidi yuran pengajian diberikan oleh Binary University melalui Geran Pendidikan Prihatin (GPP) MyBinary-PTPTN dengan peruntukan berjumlah RM205 juta secara ‘one-off’.
Dengan peruntukan di bawah GPP Prihatin MyBinary-PTPTN ini juga, pelajar lepasan SPM yang mengikuti pengajian Foundation akan menikmati subsidi sebanyak RM54,600 bagi empat tahun pengajian termasuk pengajian Ijazah Sarjana Muda.
Manakala bagi pelajar lepasan STPM yang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda pula akan menikmati subsidi sebanyak RM40,950 bagi tiga tahun pengajian.
Menurut Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan, subsidi yuran menerusi GPP MyBinaryPTPTN itu menunjukkan keprihatinan pihaknya dalam menyokong usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Saya harap para pelajar akan memohon untuk mendapatkan subsidi yuran ini. Peruntukan inimencerminkankeprihatinan PTPTN dan Binary University dalam menyokong usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Sementara itu, Pengasas Binary University Tan Sri Dato Prof Joseph Adaikalam berkata, kaedah pengajian di Binary University juga memberi beberapa kelebihan yang sangat penting bagi kebolehpasaran graduan Binary yang menggunakan 3 Ekosistem yang sangat unik.
“Pertamanya,semua pelajar Binary dilengkapkan dengan kemahiran industri spesifik untuk menjadi Industry Specialist Professionals atau graduan ISP melalui Ekosistem ISP.
“Keduanya, melalui Ekosistem BEE atau Binary Entrepreneurial Ecosystem yang terdiri daripada ribuan usahawan, Binary dapat memupuk sifat keusahawanan dalam semua graduan mahupun yang ingin bekerja atau yang ingin jadi usahawan. Ciri keusahawanan amat penting bagi graduan hari ini sebab majikan mengutamakan pekerja yang berinovasi dan berkreativiti.
“Ekosistem ketiga iaitu BTI pula terdiri daripada ribuan majikan yang sedang mencari pekerja (graduan) yang mempunyai kemahiran industri spesifik dengan ‘mindset’ keusahawanan yang komprehensif serta berfokus. Ini bererti graduan dapat memohon untuk pekerjaan semasa dalam semester akhir tahun 3. Pelajar dan majikan tidak perlu membayar apa-apa bayaran untuk perkhidmatan BTI atau Binary Talent International,” katanya.
Pelajar B40 dan M40 lepasan SPM dan STPM boleh mengemukakan Permohonan GPP Prihatin MyBinaryPTPTN mulai 11 Jun 2021 dengan melayari www.binary.edu.my/gpp.