Utusan Borneo (Sarawak)

Daerah Bau kini Zon Merah jangkitan COVID-19

-

KUCHING: Daerah Bau semalam bertukar status kepada Zon Merah jangkitan COVID-19 selepas 41 kes jangkitan tempatan direkodkan di daerah ini dalam tempoh 14 hari lepas.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata daerah Lundu pula bertukar kepada status Kuning selepas dua kes baharu jangkitan tempatan dikesan semalam.

“Hari ini (semalam) sahaja terdapat 18 kes dikesan di Bau yang merupakan individu disaring melalui pengesanan kes secara aktif kontak kepada kes positif COVID-19. Semua kes tidak menunjukka­n sebarang tanda atau gejala.

“Bagi kes di Lundu, satu kes individu disaring melalui pengesanan kes secara aktif kontak rapat kes positif.

“Manakala satu lagi kes saringan-saringan lain COVID-19 yang hadir ke pusat kesihatan di daerah Lundu. Kedua-dua kes tidak menunjukka­n sebarang tanda atau gejala,” katanya.

JPBNS turut memaklumka­n bahawa lapan daerah iaitu Selangau, Betong, Meradong, Kuching, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu kekal berstatus Merah dengan sejumlah 2,688 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas.

Daerah Samarahan, Kanowit, Sarikei, Serian, Julau, Subis, Dalat dan Sri Aman kekal berstatus Jingga dengan 228 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.

Sepuluh lagi daerah iaitu Bukit Mabong, Tatau, Marudi, Mukah, Pusa, Song, Asajaya, Beluru, Saratok dan Sebauh kekal berstatus Kuning dengan 64 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.

Manakala 12 daerah lain iaitu Belaga, Pakan, Matu, Lawas, Daro, Simunjan, Lubok Antu, Telang Usan, Limbang, Tanjung Manis, Tebedu dan Kabong kekal berstatus Hijau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia