TIADA KOMPROMI UBAH SUAI EKZOS
Tukar kembali eksoz yang telah diubah suai agar tidak mengeluarkan bunyi bising: Alexson.
KUCHING: Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kenderaan yang didapati mengubah suai ekzos kenderaan sehingga mengeluarkan bunyi bising.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan
Trafik (JSPT) Sarawak Superintenden Alexson
Naga Chabu berkata, Operasi Khas Kesalahan Bunyi (Ekzos) Bising sedang dijalankan di seluruh negeri bermula 1 hingga 14 Mac ini.
Menurutnya, tindakan saman atau kenderaan disita akan diambil terhadap pemilik kenderaan sekiranya didapati melakukan pengubahsuaian ekzos.
“Justeru, saya ingin nasihatkan semua pemilik kenderaan yang mana ekzos kenderaan mereka telah diubah suai dan mengeluarkan bunyi bising supaya menukar kembali ekzos yang asal dan tidak bising,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau turut memberitahu, sebanyak 140 saman dikeluarkan atas kesalahan mengubah suai ekzos sejak hari pertama operasi dijalankan sehingga Jumaat lepas.
Jelasnya, daripada jumlah tersebut, 97 daripadanya merupakan kenderaan jenis motosikal, 40 kereta dan tiga lagi lain-lain jenis kenderaan.
“Sehingga semalam (Jumaat), sebanyak 2,774 kenderaan diperiksa iaitu 1,005 motosikal, 1032 kereta dan lain-lain sebanyak 737.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 140 saman dikeluarkan atas kesalahan mengubah suai ekzos sehingga menyebabkan bunyi bising,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut sama dalam operasi bersepadu tersebut juga ada mengeluarkan notis kompaun atas kesalahan yang sama iaitu sebanyak 27 notis.
Selain itu, terdapat sebanyak 579 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang pelaksanaan operasi tersebut setakat ini.
“Antara kesalahan yang disaman ialah tidak memakai tali pinggang keledar sebanyak 23 saman, ubah suai struktur kenderaan (71), muatan berbahaya (58), tiada lesen memandu (59), nombor pendaftaran tidak mengikut piawaian (69) dan nombor pendaftaran ‘fancy’ sebanyak 71 saman.
“Untuk kesalahan lampu brek tidak menyala pula mencatatkan sebanyak 36 saman, tidak memakai topi keledar (30), menggunakan alat telekomunikasi (21), tiada cermin sisi (54), tidak pamer ‘P’ (28) dan LKM tamat tempoh sebanyak 24 saman,” katanya.
Sementara itu katanya, sebanyak 15 motosikal dan sebuah kereta disita untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Semua operasi dijalankan dengan cara sekatan jalan raya, pemeriksaan mengejut dan dengan cara rondaan tahan serta periksa. Semua operasi berjalan dengan lancar,” katanya.