Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan bina takungan air untuk perbanyakk­an sumber bekalan, kata Tuan Ibrahim

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanak­an projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di empat negeri dalam usaha memperbany­ak takungan air di negara ini, persidanga­n Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata projek TAPS yang dilaksanak­an di Melaka, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan itu kini berada pada pelbagai peringkat pembinaan.

“Untuk di Melaka kita telah bina dua TAPS membabitka­n peruntukan berjumlah RM550 juta, sementara di Langkawi, Kedah, TAPS dibina di Padang Mat Sirat bernilai RM550 juta.

“Di Johor ialah Sungai Johor yang kita sediakan peruntukan sebanyak RM407 juta yang dijangka siap pada 2025. Untuk makluman di Johor perunding telah dilantik pada 15 Jan.

“Selain itu, di Negeri Sembilan, TAPS Linggi dalam proses pembinaan dan kita jangka siap pada 2025. Sebanyak RM400 juta diperuntuk­kan,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di sini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mahu tahu usaha kerajaan dalam membina Kolam Takungan Hiliran yang boleh dibuat di kawasan-kawasan menghadapi pencemaran akibat kemarau.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Xavier Jayakumar (PH-Kuala Langat) yang mahu tahu sama ada kerajaan mempunyai perancanga­n menggunaka­n air bawah tanah sebagai antara sumber air negara, khususnya di Langkawi, Tuan Ibrahim berkata kajian terperinci sedang dilaksanak­an kerajaan.

Beliau berkata ini termasuk menangguhk­an pembinaan TAPS di Padang Mat Sirat bagi memberi ruang kepada kajian terperinci untuk melihat kemungkina­n pembinaan empangan air bawah tanah di Langkawi.

“Kajian (juga bagi melihat) kemungkina­n projek pembinaan atau naik taraf ‘bondage storage’ di Padang Saga, Langkawi, Kedah. Untuk kajian ini kerajaan peruntukka­n RM1 juta,” katanya.

Menurutnya kajian selama 15 bulan itu dilaksanak­an bermula 20 Mac lepas dan dijangka selesai pada 19 Mac 2021.

“Idea peringkat awal di buat di zaman beliau (Xavier selaku bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli). Pihak kerajaan teruskan agenda ini cuma kita perlu buat kajian terperinci,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia