Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19: EMPAT KLUSTER DI SARAWAK DIISYTIHAR TAMAT

-

KUCHING: Empat kluster COVID-19 di negeri ini diisytihar­kan tamat semalam selepas tiada kes positif baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari dari tarikh akhir kes.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataann­ya berkata, empat kluster tersebut ialah Kluster Syarikat Kejurutera­an Kuching, Kluster Sentosa, Kluster PUI Melbourne dan Kluster Pasar Satok.

Hanya dua kluster COVID-19 yang masih aktif ketika ini iaitu Kluster Mambong dan Kluster Alam Bintulu.

“Pada hari ini (semalam) tiada kes positif COVID-19 baharu dilaporkan. Ini menjadikan jumlah keseluruha­n kes COVID-19 di Sarawak kekal 696,” katanya.

JPBNS juga memaklumka­n tiada kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital semalam, menjadikan jumlah keseluruha­n kes positif COVID-19 yang telah pulih dan discaj setakat ini kekal 662 orang atau 95.11 peratus.

Seramai 11 orang katanya, masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital, sembilan daripadany­a dirawat di Hospital Bintulu, empat lagi di Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala seorang masing-masing di Hospital Sibu dan Hospital Miri.

“Jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.73 peratus. Hari ini (semalam), 19 orang yang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan dua kes masih menunggu ujian makmal,” kata JPBNS.

Mengulas lanjut mengenai klusterklu­ster yang diisytihar­kan tamat, JPBNS berkata Kluster Syarikat Kejurutera­an Kuching telah dikesan pada 18 Julai melibatkan lapan kes positif COVID-19.

Kluster berkenaan katanya, mula dikesan apabila kes indeks kluster, kes ke-575 dimasukkan ke HUS kerana mengalami sakit dada dan batuk kering.

Saringan awal COVID19 pada 7 Julai mendapati beliau positif bagi Ujian RTK Antibody (Positif IgM dan Negatif IgC).

“Ujian swab untuk rTPCR COVID-19 pada 9 Julai mengesahka­n beliau positif. Semua kontak rapat telah diarah menjalani saringan COVID19 dan hasilnya tujuh lagi disahkan positif melibatkan lima rakan sekerja kes ke-575 dan dua kontak rapat kepada kes ke-631.

“Kes terakhir dikesan pada 28 Julai. Kes terakhir telah pulih dan didiscaj dari hospital pada 8 Ogos,” jelas JPBNS.

Bagi Kluster Sentosa yang melibatkan sebuah fasiliti kesihatan di Kuching, kes dikesan pada 21 Julai dan melibatkan 31 kes disahkan positif COVID-19.

Menurut JPBNS, kes pertama Kluster Sentosa dikesan apabila kes indeks ke-602 menjalani saringan kendiri COVID-19 pada 18 Julai di fasiliti kesihatan swasta di sini kerana hendak melakukan perjalanan ke Pulau Pinang dan hasil keputusan ujian berkenaan mendapati beliau positif pada hari sama.

Susulan pelaporan kes ini, semua petugas kesihatan dan pesakit di fasiliti kesihatan terbabit berserta kontak rapat telah diarahkan untuk menjalani saringan COVID-19 dan hasil saringan telah berjaya mengesan 30 lagi kes yang disahkan positif, jelasnya.

JPBNS berkata, kes terakhir Kluster Sentosa dikesan pada 28 Julai dan pulih serta discaj dari wad hospital pada 9 Ogos.

Mengenai Kluster PUI Melbourne, JPBNS berkata ia dikesan pada 22 Julai melibatkan tiga kes COVID-19 yang telah disahkan menerusi ujian makmal.

“Secara ringkasnya kluster ini dikesan apabila kes indeks ini yang merupakan seorang pelajar warganegar­a tempatan (kes ke-587) dikesan positif di pusat kuarantin hotel ada 17 Julai.

“Kes telah pulang dari Melbourne, Australia pada 15 Julai menaiki pesawat dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan kemudian ke Kuching.

“Aktiviti pengesanan kontak rapat dalam penerbanga­n secara aktif telah dijalankan dan dua kes positif telah dikesan iaitu kes yang menaiki pesawat yang sama dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuching,” katanya.

JPBNS menambah, kes terakhir dikesan untuk kluster tersebut ialah pada 28 Julai dan pulih serta discaj dari wad hospital pada 7 Ogos.

Kluster keempat diisytihar­kan tamat di Sarawak, Kluster Pasar Satok dikesan pada 28 Julai melibatkan empat kes COVID19 yang disahkan menerusi ujian makmal.

JPBNS berkata, Kluster Pasar Satok mula dikesan apabila Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menjalanka­n saringan aktif di Pasar Satok berikutan pelaporan kes COVID-19 di Pasar Stutong.

“Ini merupakan aktiviti saringan bersasar kes atas pasar besar yang telah dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dengan kerjasama semua agensi di bawah JPBNS.

“Pada 25 dan 26 Julai, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah menjalanka­n aktiviti saringan melibatkan 229 peniaga dan pekerja am di pasar tersebut. Hasil saringan tersebut, seramai empat kes didapati positif COVID-19 pada 28 Julai.

“Secara keseluruha­nnya, seramai 936 peniaga dan kontak rapat telah dikenal pasti, hasil saringan telah berjaya mengesan keseluruha­n empat kes COVID-19 (0.43%),” kata JPBNS.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia