Utusan Borneo (Sarawak)

Wiegman akan ambil alih jawatan ketua jurulatih bola sepak wanita England

-

LONDON: Sarina Wiegman akan menggantik­an Phil Neville sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita England pada tahun depan, Persatuan Bola Sepak (FA) mengumumka­n kelmarin.

Wanita Belanda berusia 50 tahun itu akan membimbing Belanda di Olimpik tahun depan sebelum dia mengambil alih tanggungja­wab ke atas pasukan England.

Bekas pemain pertahanan antarabang­sa Belanda itu akan memikul tanggungja­wab apabila England menganjurk­an Euro 2022, Piala Dunia 2023 di Australia dan New Zealand, dan Euro seterusnya pada 2025.

Wiegman merupakan pilihan utama FA di depan bekas jurulatih Amerika Syarikat yang sudah dua kali memenangi Piala Dunia, Jill Ellis.

Kejayaan kedua Ellis memenangi Piala Dunia dicapai dengan menewaskan pasukan Belanda bimbingan Wiegman pada tahun lepas.

“Sarina merupakan pilihan nombor satu kami,” kata Sue Campbell selaku pengarah bola sepak wanita FA.

Wiegman berasa gembira mengambil alih tanggungja­wab ke atas pasukan dari negara yang telah berada di barisan depan dalam usaha memajukan bola sepak wanita.

“Saya gembira dan berbesar hati untuk menyertai pasukan wanita England pada tahun depan,” Wiegman menyebut dalam satu kenyataan.

“England merupakan tempat kelahiran bola sepak dan pembanguna­n besar dalam bola sepak wanita pada peringkat global sejak beberapa tahun lalu.

“Saya mengalu-alukan peluang menyumbang kepakaran saya kepada pasukan yang bercita-cita tinggi ini.”

Di bawah Wiegman, Belanda memenangi Kejohanan Eropah 2017 sebagai tuan rumah.

Wiegman – yang pada 2001 menjadi pemain bola sepak Belanda yang pertama bermain untuk negara sebanyak 100 kali – berkata dia mahu berundur dengan kejayaan pada tahun depan.

“Perjalanan bersama pasukan Oranje Lionesses adalah menakjubka­n setakat ini, tetapi kami belum lagi sampai ke destinasi terakhir kami,” katanya.

Neville membimbing pasukan wanita England untuk menduduki tempat keempat di Piala Dunia Wanita 2019 tetapi sinar bekas bintang Manchester United itu pudar apabila prestasi mereka merudum selepas itu. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia