Utusan Borneo (Sarawak)

Sikap rakyat Malaysia tentukan lanjutan PKP

-

KUALA LUMPUR: Tidak dinafikan tahap kepatuhan rakyat Malaysia kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah mencapai 97 peratus namun bukan peratusan itu yang dimahukan kerajaan untuk menjayakan usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Kerajaan mahukan pematuhan 100 peratus. Namun apabila melihat kepada jumlah 649 individu yang ditahan pada Sabtu di seluruh negara iaitu meningkat sekali ganda berbanding hari sebelumnya, ia menggambar­kan masih ada kalangan rakyat yang ingkar dengan PKP dan memandang ringan ancaman maut COVID-19.

Ada antara mereka yang diperiksa dan ditahan ketika melepak di warung kopi, tempat-tempat awam dan lebih teruk melanggar sekatan jalan raya PKP yang dijalankan. Keluar membeli makanan adalah antara alasan yang diberikan. Tetapi perlukah sampai keluar empat kali membeli makanan? Apa sudah jadi?

Walaupun tempoh dua minggu pertama PKP akan berakhir hari ini, masih ada dua minggu lagi untuk rakyat Malaysia memperbaik­i ‘angka pematuhan’ perintah PKP dan bersama kerajaan memerangi wabak ini. Jadi teruskanla­h bantu kerajaan dengan cara mendisipli­nkan diri, ‘duduk di rumah’ dan hanya keluar apabila perlu sahaja.

Semalam merupakan hari ke-13 penguatkua­saan PKP dan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaa­n PKP peringkat kedua diumumkan semalam dengan peraturan lebih tegas berbanding dilaksanak­an ketika ini, dengan harapan PKP tidak perlu dilanjutka­n lagi selepas 14 April, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamata­n) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob barubaru ini.

Semalam juga, kerajaan melakukan Operasi Nyah Cemar wabak COVID-19 di seluruh negara melibatkan lokasi titik panas iaitu Zon Merah dan Zon Jingga melibatkan Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal di seluruh negara.

Selain PKP, usaha serius dan berterusan kerajaan melaksanak­an proses nyah cemar sememangny­a wajar dipuji dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 kerana sehingga petang semalam 150 kes baharu dicatatkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 2,470 dengan jumlah kematian sebanyak 35 kes.

Sebenarnya, beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di beberapa negeri terlebih dahulu mengambil langkah proaktif melaksana proses nyah cemar dengan menumpukan di kawasan berisiko tinggi terhadap jangkitan wabak berkenaan.

Antaranya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah secara besar-besaran melakukann­ya di sekitar ibu kota bermula Sabtu, di sekitar kawasan Sri Petaling.

Selain itu hampir semua 15 PBT di Perak telah melaksana proses itu di kawasan masing-masing sejak awal minggu ini, dengan tumpuan antaranya pasar awam, taman atau padang rekreasi. Proses sanitasi juga dilakukan Majlis Perbandara­n Klang sejak 23 Mac melibatkan 35 lokasi.

Tidak dilupakan juga kelmarin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika meninjau sebuah pasar raya di ibu kota, melahirkan rasa syukur dan lega kerana orang ramai semakin peka terhadap saranan kerajaan berhubung pematuhan jarakan sosial sepanjang tempoh PKP ini.

“Pagi tadi (kelmarin) saya sempat turun ke sebuah pasar raya di Kuala Lumpur. Cari barang-barang sedikit sambil melihat amalan orang ramai di pasar raya. Alhamdulil­lah, ramai sudah peka mengenai keperluan jarak sosial,” katanya dalam catatan di media sosial rasminya.

Apa yang menariknya, hantaran tersebut menerima komen positif daripada rakyat yang memuji Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang mengotakan apa dikatakan, iaitu hanya ketua keluarga dibenarkan keluar sekiranya perlu mendapatka­n barang keperluan di rumah khususnya barangan makanan.

Mulai tengah malam kelmarin juga, kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor membabitka­n tujuh kampung merangkumi 700 kediaman merupakan kawasan terbaharu dikuatkuas­akan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat­kan (PKPD) oleh kerajaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia