Utusan Borneo (Sarawak)

ORANG PEDALAMAN PATUH

Tahap pematuhan orang ramai terhadap PKP di pedalaman adalah pada tahap 96%.

- Oleh Clare Cinderella

MIRI: Tahap pematuhan orang ramai terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pedalaman adalah pada tahap 96 peratus dan sangat baik setakat ini.

Ketua Polis Daerah (KPD) Baram DSP Jo Heng berkata, beliau berpuas hati dengan pematuhan orang ramai di bawah bidang kuasanya atas kesedaran terhadap wabak COVID-19 dalam kalangan penduduk di Baram.

Menurutnya, berdasarka­n laporan diterima daripada anggotanya di Beluru, Lapok, Long Lama dan Bario mengatakan tahap pematuhan adalah 96 peratus.

"Terdapat penurunan perjalanan kenderaan dan ini menunjukka­n orang ramai di luar bandar menyedari situasi semasa dan mereka mematuhi perintah tersebut," katanya ketika dihubungi bagi mengulas tahap pematuhan PKP di sini semalam.

Tinjauan di pekan Lapok yang terletak kira-kira 150 kilometer dari bandar raya Miri mendapati jalan ke Lapok dari Miri biasanya sibuk dengan kenderaan keluar masuk tetapi kini nampak tenang dengan hanya beberapa kereta dan lori membawa kelapa sawit.

Di pekan Lapok, suasana turut tenang dengan hanya beberapa orang menjual sayur-sayuran dan hasil hutan di tamu.

Biasanya, tamu terbabit sesak terutama setiap Ahad kerana penduduk kampung berdekatan datang ke tamu menjual hasil pertanian mereka.

Menurut Martin Ajeng, 55, dia dan isterinya pergi ke Lapok setiap Ahad menjual hasil tanaman dan sayur hutan yang dikumpul pada Sabtu.

"Kami menanam sayur-sayuran sendiri, isteri saya menjual cili, tomato dan paku-pakis, kebiasaann­ya laris dijual.

"Ramai pelanggan terutama dari kampung berdekatan datang ke sini membeli sayuran dan lain-lain termasuk ikan air tawar, udang dan babi hutan yang dibawa penduduk kampung," katanya.

Martin berkata, sesetengah pelanggan sanggup memandu jauh dari Bekenu atau Miri membeli hasil daripada mereka.

"Sejak arahan PKP, pekan dan tamu terbabit sangat tenang dan sunyi, hanya beberapa orang datang pagi ini dan mereka cepat balik.

"Mungkin ramai takut keluar, saya dan isteri juga takut tetapi kami mesti melakukan ini untuk meneruskan kehidupan dan menyediaka­n bekalan makanan untuk orang ramai," katanya.

Seorang peniaga lain, Ayu Bajang, 48, berkata dia datang awal dengan menaiki bot laju bersama suami dan anaknya menjual hasil tangkapan di tamu.

"Suami dan anak saya menangkap banyak ikan air tawar dan kami datang ke Lapok menjualnya kerana pekan Lapok sentiasa dikunjungi ramai pada Ahad.

"Sebaliknya, amat mengejutka­n apabila kami tiba di sini mendapati hanya beberapa orang berniaga di tamu ini," katanya.

Sementara itu, tinjauan di pekan Bekenu juga mendapati keadaan agak lengang kerana tiada peniaga menjual di tamu dan hanya sebuah pasar mini dibuka.

 ??  ?? SUNYI: Tamu di pekan Bekenu turut lengang kerana tiada penjaja yang berniaga.
SUNYI: Tamu di pekan Bekenu turut lengang kerana tiada penjaja yang berniaga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia