Utusan Borneo (Sarawak)

Empangan Mengkuang akan terus berfungsi sebagai empangan strategik: Lim

-

BUKIT MERTAJAM: Empangan Mengkuang akan terus berfungsi sebagai empangan strategik bagi menjamin bekalan air di Pulau Pinang tidak terjejas akibat musim kemarau, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata tujuan pembesaran Empangan Mengkuang adalah bagi membolehka­n ia berfungsi sebagai empangan strategik untuk memberi jaminan bahawa bekalan air kepada semua pelabur dan penduduk negeri itu tidak terjejas.

“Semasa saya menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, kita ada buat perancanga­n untuk mewujudkan satu rizab strategik air dan projek di Empangan Mengkuang ini bukan sahaja memperluas empangan tetapi pada masa yang sama, kita sudah mewartakan kawasan berhampira­n sebagai kawasan tadahan air.

“Itu adalah dua daripada tiga langkah yang menyaksika­n langkah ketiga adalah untuk membina infrastruk­tur yang perlu bagi memastikan air cukup bukan sahaja untuk rakyat tetapi untuk pelabur dan juga pedagang di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas melawat Empangan Mengkuang di sini semalam.

Lim berkata perancanga­n itu memberi jaminan kepada semua pihak bahawa Pulau Pinang tidak akan melakukan catuan air meskipun pada musim kemarau.

Lim, yang juga Ahli Parlimen Bagan, berkata air di Empangan Mengkuang telah mencapai kapasiti sebanyak 72 peratus.

“Saya telah difahamkan oleh (Datuk) Jaseni (Maidinsa) bahawa air di empangan ini mampu menampung segala keperluan air di Pulau Pinang sehingga akhir tahun,” katanya.

Sementara itu, Jaseni yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, berkata negeri tersebut merupakan satu-satunya yang merancang untuk menyediaka­n empangan strategik dalam usaha menyimpan air ketika musim hujan bagi kegunaan pada musim kemarau.

Beliau berkata empangan strategik bukan seperti empangan lain, contohnya Empangan Air Itam atau Empangan Teluk Bahang, yang airnya digunakan setiap hari.

“Empangan Mengkuang ini tujuannya adalah menyimpan air dan pada musim kemarau panjang, apabila (paras air di) empangan harian turun, kita masih ada takungan untuk membekalka­n air,” katanya.

Jaseni turut menyaranka­n agar Kerajaan Persekutua­n membina sebuah empangan strategik di setiap negeri bagi menyimpan air yang terlalu banyak ketika musim hujan dan mengelak pembaziran dengan menyalurka­nnya ke laut. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? SOAL JAWAB: Lim ketika menjawab pertanyaan pemberita semasa melakukan lawatan di Empangan Mengkuang semalam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa (kiri).
— Gambar Bernama SOAL JAWAB: Lim ketika menjawab pertanyaan pemberita semasa melakukan lawatan di Empangan Mengkuang semalam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa (kiri).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia