5,000 dekoder MyTV diserah kepada penerima di Kuching dalam empat hari
KUCHING: Dianggarkan 5,000 unit dekoder televisyen digital MyFreeview (MyTV) akan diserahkan kepada penerima di sekitar Kuching dalam tempoh empat hari bermula semalam.
Pengagihan dekoder atas inisiatif yang dikendalikan Parti Tindakan Demokratik (DAP) bersama MyTV dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu semalam diadakan di Aeroville Mall yang bermula jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang.
Program di Aeroville Mall diadakan selama dua hari sehingga hari ini, manakala dua hari seterusnya iaitu Isnin dan Selasa pada jam yang sama diadakan di Emart Batu Kawa.
Pengerusi DAP Negeri yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Chong Chieng Jen turut hadir meluangkan masa bagi memantau sendiri perkembangan di pusat pengagihan berkenaan, semalam.
Ketika ditemui pemberita, Chong mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada pihak Aeroville Mall kerana sudi membantu dan membenarkan tempat mereka bagi tujuan pengagihan terbabit.
“Kita menggunakan tempat ini sebagai pusat pengedaran untuk hari ini (semalam) dan esok (hari ini) dan seterusnya di Emart Batu Kawa pada Isnin dan Selasa.
“Kita berterima kasih kepada pusat beli-belah ini kerana mahu menyediakan tempat untuk kita mengagihkan dekoder kepada masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif pengagihan dekoder kepada masyarakat di Sarawak merupakan satu usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) selaras dengan mentransformasikan penyiaran televisyen daripada analog kepada digital.
Katanya, sebelum ini di bawah perjanjian pelantikan kontraktor MyTV oleh kerajaan terdahulu, semua dekoder MyTV hanya dihantar menerusi perkhidmatan kurier kepada Sabah dan Sarawak.
“Namun kita menyedari menerusi kaedah kiriman sedemikian di Sarawak, ramai dalam kalangan penerima tidak dapat menerima kerana beberapa faktor termasuk alamat tidak terperinci.
“Banyak kiriman dekoder tidak sampai kepada penerima dan ia akan dihantar balik... bagi yang dihantar balik ia tidak akan dihantar buat kali kedua kepada penerima.
“Sehubungan itu , sebaik sahaja PH mengambil alih kerajaan persekutuan, kami telah mengadakan perbincangan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai isu ini,” katanya.
Chong memberitahu, akhirnya MyTV telah berjanji dan bersetuju dengan cadangan mereka supaya menghantar pasukan di bandarbandar utama di Sarawak seperti Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu untuk program pengagihan dekoder MyTV.
Sementara itu, empat lagi lokasi penganjuran pengagihan dekoder di negeri ini, iaitu di Miri pada 26 hingga 28 Februari, di Bintulu (1 dan 2 Mac) manakala di Sibu iaitu di SMK Nangka, Sibu (7 dan 8 Mac).