DBKU dan Trienekens jalinkan usaha sama cantikkan pusat pengumpulan tong sampah
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd menjalinkan usaha sama mencantikkan pusat pengumpulan tong sampah untuk memastikan persekitaran lebih mesra pengguna.
Datuk Bandar DBKU, Datu Junaidi Reduan berkata pihaknya banyak menerima aduan mengenai masalah persekitaran pusat pengumpulan sampah yang gagal diurus dengan cekap, selain kotor dan berbau busuk.
Menurutnya, perbuatan segelintir individu tidak bertanggungjawab turut mengundang masalah sehingga menyebabkan pembiakan haiwan pembawa penyakit.
“Kampung Gita Baru dipilh DBKU dan Trinekens sebagai projek perintis untuk mencantikkan pusat pengumpulan tong sampah.
“Justeru, kita memohon kerjasama semua pihak agar membuang sampah secara berhemah di tempat pengumpulan agar semua bahan buangan boleh diurus pihak majlis dengan sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Projek Perintis Mencantikkan Pusat Pengumpulan Tong Sampah di Kampung Gita Baru di sini, semalam.
Junaidi menambah, projek perintis itu akan diperluaskan ke kawasan lain sekiranya objektifnya mencapai matlamat.
“DBKU sentiasa berusaha menjadikan bandar raya ini bersih dan selamat untuk didiami, namun perbuatan segelintir pihak ada kalanya mencacatkan usaha kita,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkanpendudukkampung untuk bersama menjaga kebersihan dan memastikan kemudahan awam seperti pusat pengumpulan tong sampah yang disediakan berada dalam keadaan baik.
“Kita harap tong sampah di sini (pusat pengumpulan) berada dalam keadaan baik bukan hanya untuk beberapa ketika tapi untuk selamanya,” kata beliau.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd Stephen Chin dan Penghulu Kampung Gita Baru Obeng Abang Oteng.