Utusan Borneo (Sarawak)

Permohonan semakan difail Azilah didengar pada 20 April di Mahkamah Persekutua­n

-

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutua­n di sini semalam menetapkan 20 April tahun depan untuk mendengar permohonan semakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri terhadap sabitan dan hukuman mati ke atasnya kerana membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutua­n Azniza Mohd Ali menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes di hadapannya di dalam kamar.

Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun dan Tengku Intan Suraya Tengku Ismail memberitah­u media mahkamah memberi masa kepada kedua-dua pihak untuk memfailkan afidavit dan afidavit balasan kepada permohonan itu sebelum pendengara­n pada 20 April.

Norinna berkata pemohon (Azilah) memfailkan permohonan minggu lepas bersekali dengan afidavit yang mengandung­i Akuan Berkanun (SD) untuk menyokong permohonan­nya.

Beliau berkata pendakwaan akan meneliti afidavit dan SD itu sebelum menjawab afidavit pemohon.

Peguam J. Kuldeep Kumar, yang mewakili Azilah, mengesahka­n anak guamnya memfailkan permohonan itu minggu lepas di bawah Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutua­n 1995 bersekali dengan SD.

Media Malaysia semalam menyiarkan berita di muka depan bahawa Azilah dalam SD itu, mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya dikeluarka­n bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri.

Beliau berkata anak guamnya memohon untuk mengetepik­an sabitan dan hukuman mati yang dijatuhi Mahkamah Persekutua­n pada 13 Jan 2015 dan suatu perintah bagi perbicaraa­n semula.

Azilah, 43, yang sedang menunggu hukuman mati di Penjara Kajang, memfailkan permohonan pada 5 Dis, tahun ini yang mengandung­i SD setebal 32 muka surat.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Najib, memberitah­u media anak guamnya telah mengarahka­n beliau supaya memfailkan permohonan untuk mencelah dalam permohonan semakan itu.

Peguam itu berkata Najib menafikan sekeras-kerasnya segala perkara yang didakwa (oleh Azilah) itu.

Sementara itu, peguam Sangeet Kaur Deo, turut memberitah­u media beliau akan memohon kepada mahkamah untuk menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Altantuya dalam permohonan itu.

Pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutua­n menolak pembebasan Azilah dan seorang lagi anggota UTK berhubung pembunuhan Altantuya, dan menjatuhi hukuman mati mandatori.

Mahkamah itu turut mengetepik­an keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaska­n Azilah dan Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya serta mengekalka­n keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati mereka bersalah dan menjatuhi hukuman mati terhadap mereka berdua.

Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel hakim pada masa itu, turut mengeluark­an waran tangkap ke atas Sirul Azhar, kerana tidak hadir di mahkamah.

Sirul Azhar, 47, berada di dalam sebuah pusat tahanan di Australia sejak beberapa tahun lepas setelah dia melarikan diri ke negara itu pada 2014 semasa dalam jaminan.

Azilah dan Sirul Azhar didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Okt dan 1 pagi hari berikutnya pada 2006.

Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013, membenarka­n rayuan yang dikemukaka­n kedua-dua anggota polis komandoitu­untukmenge­tepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah kerana membunuh wanita itu dan menjatuhi hukuman mati terhadap mereka.

Bekas penganalis­is politik Abdul Razak Baginda, 55, yang didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008, selepas membuat keputusan bahawa pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapny­a.

Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasan itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia