Pusat konservasi dan pemuliharaan penyu bakal dibuka di pangkor
LUMUT: Pulau Pangkor yang terkenal sebagai antara destinasi pelancongan menarik di Perak bakal memiliki sebuah Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) bagi meningkatkan usaha perlindungan serta pengurusan haiwan marin itu.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak Zaki Mokri berkata TCIC itu dijangka dibina di kawasan seluas dua hektar di Teluk Ketapang dalam masa terdekat dan proses pemilikan tanah dengan Pejabat Daerah dan Tanah Manjung sedang dilakukan.
Zaki berkata setakat ini, pusat pendaratan penyu Pulau Pangkor mempunyai lebih 40 sarang penyu dan jumlah tersebut meningkat setiap tahun sehingga menjadinya dipilih untuk lokasi kedua pusat pendaratan penyu utama di Perak selain di Segari di sini.
“TCIC di Pulau Pangkor akan menjadi tumpuan dan lokasi pelancongan baharu dan kita telah mula membuat pemuliharaan di kawasan itu sejak 2016 biarpun penyu telah mendarat di situ sejak dahulu lagi.
Di kawasan itu juga, penyu yang banyak mendarat adalah spesies agar dan lipas dan kita juga akan menyediakan pusat asuhan penyu bagi merawat penyu di TCIC tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program ‘Back to Nature Outdoor’ di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Segari, semalam.
Pada majlis anjuran Jabatan Perikanan Negeri Perak dengan Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang itu, seekor penyu agar berumur 10 tahun dilepaskan ke laut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari sebagai simbolik perasmian. — Bernama