Sembilan organisasi tandatangani MoU dengan JAS Sarawak
Sembilanorganisasi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak bagi menangani isu-isu alam sekitar di Sarawak.
Organisasi- organisasi itu ialah Institut Latihan Industri Kota Samarahan, PPKS Ilmu Sdn Bhd, Sarawak Energy Berhad (SEB), Petronas Carigali Sdn Bhd, Sarawak Shell Berhad, Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd, ASEAN Bintulu Fertiliser Sdn Bhd, Sejingkat Power Cor- poration Sdn Bhd dan X-Fab Sarawak Sdn Bhd.
Wakil setiap organisasi berkenaan menandatangani MoU dengan Pemangku Pengarah JAS Sarawak Amirul Aripin dalam satu majlis yang disaksikan Ketua Pengarah JAS Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
Ketika ditemui selepas majlis itu, Kamarulnajuib berkata MoU itu berperanan memperkukuhkan lagi rakan kongsi strategik dan pintar dalam kalangan sektor swasta, agensi dan jabatan lain.
Beliau berkata sembila rakan kongsi baharu itu akan bekerjasama dengan JAS melaksanakan program pemuliharaan alam sekitar di negeri ini khasnya.
“Dengan penglibatan semua pihak, kita dapat mempertingkatkan lagi kesedaran awam tentang perlu dan pentingnya melindungi alam sekitar kita khususnya di Sarawak,” katanya.
Kamarulnajuib berkata antara aktiviti bakal diadakan ialah Hari Bumi pada 22 April depan, Hari Sains Negara (27 April) dan Hari Alam Sekitar Negara (21 Oktober).
Beliau menambah, sembilan organisasi itu akan menggalas tanggungjawab menganjurkan aktiviti-aktiviti berkenaan.
“Kita boleh menganjurkan aktiviti-aktiviti ini lebih sistematik yang boleh memberi lebih banyak impak kepada masyarakat khasnya di Sarawak,” katanya.
Menurutnya, kerjasama strategik itu dijangka terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti yang dijadualkan tahun ini.
“Mereka akan mempunyai sasaran sendiri dan JAS tidak perlu terlibat dalam aktivitiaktiviti ini. Sebab itulah kita ada kerjasama dengan sektor swasta dan agensi lain,” katanya.
Tambahnya antara peranan mereka ialah memudahkan JAS menganjurkan aktivitiaktiviti kesedaran pemuliharaan alam sekitar.
Terdahulu dalam ucapannya, Kamarulnajuib berkata antara program telah dilaksanakan di Sarawak ialah Larian Alam Sekitar dan Program Aerobaton dengan kerjasama SEB, F&N Beverages Manufacturing Sdn Bhd, Central Cold Storage Kuching Sdn Bhd, Nestle Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Mydin Petra Jaya pada tahun lalu.
Bagi Hari Alam Sekitar Negara tahun ini, beliau berkata JAS Sarawak akan menganjurkan pelbagai program dan aktiviti melibatkan komunit dalam usaha memelihara alam sekitar.
“Saya berharap lebih ramai sedar kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan sistem penyampaian kerajaan diperkukuhkan lagi untuk mencapai situasi ‘menang-menang untuk semua,” tambahnya.