Lelaki curi harta bapa direman tiga hari
Mahkamah Majistret di sini memerintahkan seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki mencuri harta milik bapanya supaya direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut polis.
Suspek, 33, dari Kampung Tunku Abdul Rahman (TAR), Lambir diperintahkan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Menurut keterangan pegawai penyiasat, Inspektor Hileary Kimon ketika mengemukakan permohonan reman memberitahu suspek, 33, ditangkap sekitar jam 5.30 petang, 23 Mac lalu di sebuah rumah panjang di Kampung TAR Lambir di sini.
Tangkapan ke atas suspek dibuat berikutan satu laporan diterima Balai Polis Pusat Miri daripada mangsa yang merupakan bapa suspek.
Dalam aduannya, mangsa, 58, mendakwa sekitar November 2018 semasa pulang kerja dan sampai di rumahnya di Taman Jelita, Taman Tunku di sini, dia mendapati pelbagai barang termasuk empat unit pendingin hawa, sebuah tangki air, mesin pemotong rumput, tangga aluminium, dua unit penapis air, pagar dan pintu pagar rumah, mesin basuh, dua unit pemanas air dalam bilik mandi, tiga tong gas, sebuah motosikal, meja makan dan barang perhiasan hilang.
Mangsa turut melakukan pemeriksaan di rumah keduanya di Kampung TAR Lambir di sini dan mendapati sebuah peti sejuk, sebuah mesin basuh, dua tong gas, satu alat pemanas air dan sebuah motosikal turut hilang.
Mangsa mengesyaki kecurian itu dilakukan anak lelakinya untuk tujuan peribadi dan nilai kerugian dialami dianggarkan berjumlah RM66,500.
Dalam permohonan lanjutnya, Hileary berkata memandangkan siasatan lanjut tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, justeru memohon reman selama empat hari ke atas suspek.
Katanya, permohonan itu dibuat memandangkan polis masih memerlukan masa mengesan barang-barang kes dipercayai telah dijual oleh suspek.
Bagaimanapun, Pendaftar Mahkamah Rendah Nuur Hafiza Yatim hanya membenarkan reman tiga hari ke atas suspek hingga 27 Mac ini.