Hormati undang-undang Malaysia, prihatin dengan pegangan agama masyarakat tempatan: Duta Finland
KUALA LUMPUR: Rakyat Finland telah dinasihati agar menghormati undang-undang dan peraturan Malaysia serta prihatin dengan pegangan agama masyarakat tempatan, kata Duta Besar Finland ke Malaysia, Petri Puhakka.
Dalam satu kenyataan bertulis kepada Bernama berhubung penghantaran pulang empat rakyat Finland yang ditahan selepas didakwa mengedar bahan-bahan keagamaan mengandungi teks yang dipetik dari Bible, beliau berkata peringatan itu penting kerana ia terdapat dalam seksyen nasihat perjalanan di laman sesawang kedutaan tersebut.
“Kedutaan kami sedar akan kes ini, dan kami sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia bagi mengikuti perkembangannya.
“Saya fikir juga adalah adil untuk mengatakan bahawa secara umum, rakyat Finland terkenal dengan sikap mereka yang mematuhi undang-undang dan peraturan,” katanya.
Bagaimanapun, duta berkenaan tidak mampu menjelaskan mengenai merit kes itu berikutan kekangan undang-undang privasi Finland namun beliau melahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia yang telah memberikan kerjasama yang baik ketika menangani kes tersebut.
“Hubungan dua hala antara Finland dan Malaysia adalah kukuh, dan kedutaan sedang melakukan yang terbaik untuk terus mempertingkat dan memupuk hubungan ini.
“Malaysia adalah satu contoh unik masyarakat berbilang kaum, yang menyaksikan pelbagai budaya dan agama mampu hidup bersama,” katanya dalam kenyataan itu. — Bernama