Pelanggan akhbar See Hua Marketing perlu pastikan resit sah
MIRI: See Hua Marketing Sdn Bhd mengingatkan orang awam dan pelanggan yang melanggan tiga akhbarnya iaitu The Borneo Post, Utusan Borneo dan See Hua Daily News secara bulanan mahupun tahunan agar memastikan mendapat resit langganan yang sah bagi mengelak daripada ditipu.
Jurucakapnya berkata, setiap langganan akhbar melalui kakitangan syarikat akan disertakan dengan resit rasmi yang mempunyai nama syarikat.
Menurutnya, saranan ini dibuat susulan kejadian seorang pelanggan akhbar See Hua Daily News yang telah membayar RM188 kepada seorang individu yang mengaku wakil daripada syarikat See Hua Marketing Sdn Bhd.
“Bagaimanapun, pelanggan tersebut dipercayai telah ditipu, ini dibuktikan melalui resit langganan yang diterimanya adalah resit palsu dan bukannya resit rasmi yang mempunyai nama syarikat See Hua Marketing Sdn Bhd.
“Syarikat tidak mengetahui siapa individu yang telah mengutip wang bayaran surat khabar dengan memberi resit palsu tersebut,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Susulan kejadian tersebut, satu laporan polis telah dibuat untuk rujukan pihak syarikat bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Difahamkan, mangsa yang tertipu itu telah membayar RM188 kepada individu yang tidak dikenali bagi langganan akhbar selama setahun bermula Julai 2018 sehingga Julai 2019.
Mangsa datang kepada wakil syarikat baru-baru ini mendakwa tidak menerima akhbar yang dilanggannya sejak Julai lalu.