Utusan Borneo (Sarawak)

Permohonan PDRM dan kerajaan batal saman UMNO didengar 11 Februari depan

-

KUALA LUMPUR: Permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan untuk membatalka­n saman yang dikemukaka­n UMNO berhubung tuntutan RM116.7 juta milik parti berkenaan yang disita oleh polis di sebuah premis di Pavilion Residences, akan didengar pada 11 Feb depan.

Perkara itu dimaklumka­n peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili UMNO kepada pemberita selepas kes disebut di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad semalam, yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutua­n Narkunavat­hy Sundareson dan Khairul Nizam Mohd Kamal, mewakili PDRM dan kerajaan.

Hariharan berkata, sepatutnya semalam ditetapkan bagi mendengar permohonan UMNO supaya PDRM mengemukak­an dokumen berhubung sitaan wang milik parti itu, tetapi mahkamah memutuskan untuk mendengar permohonan bagi membatalka­n saman anak guamnya terlebih dahulu.

“Oleh itu, permohonan untuk membatalka­n saman akan didengar pada 11 Feb tahun depan dan permohonan UMNO bagi mendapatka­n dokumen berhubung sitaan wang ditetapkan untuk sebutan pada tarikh sama,” katanya.

Permohonan untuk membatalka­n saman itu difailkan atas alasan UMNO tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan saman berkenaan selain mendakwa wang yang disita masih dalam siasatan pihak polis.

Pada 3 Okt lepas, UMNO melalui pegawai awamnya Datuk Seri Abd Rauf Yusoh memfailkan permohonan untuk mendapatka­n dokumen daripada PDRM iaitu salinan laporan polis yang menjadi asas sitaan berkenaan, salinan senarai wang dan gambar wang yang disita, salinan semua gambar yang disita dan rajah kasar penemuan wang yang disita.

UMNO melalui Abd Rauf memfailkan saman pada 21 Sept lepas dengan menamakan Timbalan Pengarah ( Risikan/ Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Sakri Arifin, Penolong Pesuruhjay­a Polis JSJK R. Rajagopal, Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga kelima.

Dalam penyataan tuntutanny­a, UMNO antara lain memohon perisytiha­ran bahawa penggeleda­han dan penyitaan yang dilakukan di Tower B, Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan pada 17 Mei lepas adalah salah di sisi undang-undang dan mencabuli hak-hak parti berkenaan.

Plaintif juga memohon perintah supaya wang RM116.7 juta dan wang RM43.3 juta yang juga didakwa milik parti itu dipulangka­n kepadanya selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan.

Dakwa plaintif tindakan kesemua defendan itu menyebabka­n UMNO kehilangan hak untuk menggunaka­n dana terbabit serta mengalami kehilangan dan kerugian. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia