Utusan Borneo (Sarawak)

Sarawak guna dana sendiri berjumlah RM40 juta sukat tanah NCR

-

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneruskan kerja menyukat tanah Hak Adat Bumiputera ( NCR) tahun depan menggunaka­n dana sendiri berjumlah RM40 juta.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Kerajaan Sarawak mengambil keputusan menggunaka­n dana sendiri selepas tiada peruntukan disediakan kerajaan persekutua­n bagi tujuan itu dalam Belanjawan 2019.

Beliau berkata kerja menyukat sempadan tanah NCR itu akan melibatkan tanah NCR yang sah milik semua peribumi di negeri ini.

Tambahnya peruntukan RM40 juta bagi tujuan itu merupakan petunjuk jelas bahawa Kerajaan Sarawak sangat komited menyelesai­kan isu tanah NCR di Sarawak dan melibatkan semua penduduk asal di negeri ini.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah meluluskan RM40 juta supaya kerja menyukat tanah NCR di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dapat diteruskan pada 2019.

“Ada kawan kita di sini (dalam Dewan) hanya lantang menuding jari menuduh dan menyalahka­n kerajaan negeri tetapi mereka sendiri tidak berusaha mencari dana dan cara bagaimana menyelesai­kan masalah sebaliknya mengeliruk­an rakyat,” katanya.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembanguna­n Wilayah berkata demikian ketika menyampaik­an ucapan penggulung­an bagi kementeria­nnya pada Persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak mudah terpengaru­h dengan kata-kata pihak tidak bertanggun­gjawab kerana Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak ( GPS) bertekad tinggi menyelesai­kan isu NCR.

Mengenai Domain Wilayah Peribumi ( NTD), beliau berkata jawatankua­sa yang dipengerus­ikannya masih dalam proses menetapkan undang- undang berkaitan permohonan Surat Hak Milik Guna Sama Peribumi.

Menurutnya jawatankua­sa itu di peringkat akhir memuktamad­kan undang- undang berkaitan permohonan Surat Hak Milik Guna Sama Peribumi.

“Kementeria­n saya dengan Majlis Adat Istiadat akan menganjurk­an jerayawara mengenai Kanun Tanah Negeri (Pindaan) 2018 di seluruh negeri pada tahun depan.

“Jerayawara yang dicadangka­n ini disokong Pejabat Ketua Peguam Negeri dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS),” katanya.

Menurut sehingga kini masih ada pihak yang enggan memahami Kanun Tanah Negeri (Pindaan) 2018 berhubung Domain Wilayah Peribumi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia