Utusan Borneo (Sarawak)

Presiden Uganda dikecam garagara komen lelaki tidak perlu memasak

-

KAMPALA: Presiden Uganda Yoweri Museveni dikecam kelmarin kerana menyatakan beliau tidak pernah melangkah ke dalam dapur sejak beliau berkahwin, dan bukan tugas lelaki untuk memasak.

“Ketua rumah tidak pernah pergi ke dapur.

“Sudah 45 tahun bersama Mama Janet, saya tidak pernah melangkah ke dalam dapur, begitulah keadaan yang sepatutnya,” beliau menyebut Ahad lepas dalam satu kenyataan, sebagai contoh bagi bagaimana ahli politik dan penjawat awam harus menjauhkan diri daripada peranan yang dilarang.

Pengarah Eksekutif Antarabang­sa Oxfam Winnie Byanyima membidas presiden berusia 74 tahun itu dalam Twitter, dengan menyatakan beliau kecewa.

“Memasak bukan kerja seorang wanita, ia adalah satu kemahiran hidup.

“Semua orang baik lelaki mahupun wanita harus memasak,” beliau menulis.

“Apabila memasak, mencuci dan membuat kerja domestik lain dibiarkan kepada kaum wanita, mereka dinafikan peluang sama rata untuk mencari pendapatan atau bergiat aktif dalam politik.”

Beatrice Alaso dari parti pembangkan­g Forum Bagi Perubahan Demokratik memberitah­u: “Museveni telah mendedahka­n kepada dunia apa yang beliau percaya selama ini bahawa wanita tidak akan pernah sama dengan rakan sejawat mereka yang lelaki.”

Bagaimanap­un laman sesawang berita dalam talian Watchdog Uganda mempertaha­nkan kenyataan Museveni sebagai konsisten dengan budaya negara itu yang melihat lelaki memasak sebagai pantang dan berkata beberapa kumpulan etnik di negara itu mempunyai terma yang merujuk kepada lelaki yang memasak sebagai pondan atau lelaki yang berpakaian dan berkelakua­n seperti wanita. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia