Utusan Borneo (Sarawak)

Polis Johor rampas lebih 60kg dadah bernilai RM3.1 juta

-

JOHOR BAHRU: Polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat lebih 60 kilogram bernilai RM3.1 juta dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, dua hari lepas dan kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata seorang lelaki tempatan berumur 48 tahun turut ditahan dalam serbuan yang dijalankan bermula jam 3.30 petang Selasa lalu hingga 6.30 petang kelmarin.

Beliau berkata serbuan dijalankan bersama Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Seri Alam.

“Dalam serbuan pertama di Taman Desa Cemerlang pada Selasa lepas, polis berjaya menemui 58.79 kilogram dadah jenis ketamin di dalam sebuah kereta Toyota Camry.

“Dalam serbuan kedua semalam di Jalan Permatang 8, Desa Jaya pula, polis merampas 5.44 kilogram heroin dan 2.34 kilogram syabu yang semuanya disimpan di dalam kereta Perodua Kembara,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd Kamarudin berkata kesemua dadah yang dirampas itu dipercayai mampu menampung kira-kira 20,000 penagih.

“Kita turut menyita Toyota Camry dan Perodua Kembara itu, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta pasaran semua bekalan dadah berkenaan,” katanya.

Lelaki itu kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 6 Nov ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? RAMPASAN: Mohd Kamarudin (tiga kanan) menunjukka­n pelbagai jenis dadah bernilai RM3.1 juta yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, semalam.
— Gambar Bernama RAMPASAN: Mohd Kamarudin (tiga kanan) menunjukka­n pelbagai jenis dadah bernilai RM3.1 juta yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia