Utusan Borneo (Sarawak)

Suspek rogol, bunuh wartawan Bulgaria ditangkap di Jerman

-

SOFIA: Polis di Jerman telah menangkap seorang lelaki berhubung kes rogol dan pembunuhan kejam wartawan televisyen Bulgaria, Viktoria Marinova, kata pegawai Bulgaria semalam.

Namun mereka berkata pembunuhan itu dipercayai tidak ada kaitan dengan kerjanya sebagai seorang wartawan.

Suspek ditangkap lewat kelmarin atas permintaan pihak berkuasa Bulgaria, kata Menteri Dalam Negeri Mladen Marinov di satu sidang akhbar.

“Kita ada bukti yang mencukupi untuk mengaitkan individu ini dengan tempat kejadian jenayah,” katanya.

Ketua pendakwa negara, Sotir Tsatsarov, menamakan suspek sebagai Severin Kasimirov, yang dilahirkan pada 1997, dan berkata dia sudah diburu berhubung satu lagi kes rogol dan pembunuhan.

“Setakat ini kami tidak percaya pembunuhan itu ada kaitan” dengan kerja Marinova. “Namun kami terus meneliti semua hipotesis.”

“Bukti yang kami ada setakat ini membuatkan kami percaya bahawa ia adalah satu serangan spontan untuk mencabul mangsa.”

Mayat Marinova, 30 tahun – yang mengacarak­an sebuah program bual bicara mengenai hal ehwal semasa dipanggil ‘Detector’ untuk saluran televisyen kecil TVN – dijumpai di satu laluan tebing sungai di bandar utara Ruse pada Sabtu lepas.

Pihak berkuasa berkata dia mati akibat hentakan pada bahagian kepala dan kelemasan. Dia turut dirogol.

Serangan itu mengejutka­n negara berkenaan dan mengundang kecaman antarabang­sa di tengah-tengah spekulasi bahawa pembunuhan itu mungkin ada kaitan dengan kerja Marinova sebagai seorang wartawan.

Satu episod dalam programnya yang disiarkan pada 30 September lalu memaparkan temu ramah dengan dua wartawan penyiasata­n dari Bulgaria dan Romania yang telah menyiasat dakwaan rasuah.

Dia merupakan wartawan ketiga yang dibunuh di Eropah sejak 12 bulan lalu selepas Jan Kuciak di Slovakia pada Februari lalu dan Daphne Caruana Galizia di Malta pada Oktober 2017. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia