Menteri perlu rujuk Majlis Raja-Raja berkaitan hal agama
KOTA BHARU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa untuk merujuk sebarang kenyataan yang akan dikeluarkan berhubung agama Islam kepada Majlis Raja-Raja.
Presidennya Azmi Ali berkata, ini kerana urusan berkaitan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa sultan serta raja di setiap negeri, dan kenyataannya berhubung beberapa perkara berkenaan penguatkuasaan terhadap jenayah syariah dilihat melangkaui kuasa Majlis Raja-Raja.
“Semasa pembentukan negara, rakyat sudah bersetuju Perlembagaan negara terbahagi kepada dua iaitu urusan agama di bawah kuasa Majlis Raja-Raja manakala pentadbiran di peringkat Persekutuan diuruskan oleh kerajaan.
“Undang-undang yang telah dipraktikkan oleh negara kita lebih 60 tahun ini sudah baik dan tidak perlu kepada perubahan demi menjaga kesucian agama Islam di negara ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MTRK di Jalan Hamzah di sini, semalam.
Dalam satu temu bual dengan akhbar The Star, Mujahid dilaporkan berkata apa yang dilakukan orang Islam di sebalik pintu tertutup (khalwat) bukanlah urusan kerajaan
Jelas Mujahid, kerajaan tidak akan menjadi polis moral, selain hanya akan terlibat sekiranya kejadian berkenaan berlaku di tempat terbuka atau di khayalak, serta mencemarkan sensitiviti, sahsiah jenayah yang mengganggu kesejahteraan awam. — Bernama