Utusan Borneo (Sarawak)

Ahli perniagaan Malaysia disaran bina rangkaian teroka pasaran Iraq: Duta

-

AMMAN (Jordan): Ahli perniagaan Malaysia disaran membuat persediaan awal dalam meneroka peluang perniagaan di Iraq yang kini dalam proses pemulihan daripada konflik.

Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Jilid Kuminding, berkata apa yang boleh dilakukan adalah terlebih dahulu membina rangkaian dengan ahli perniagaan di negara-negara Arab yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Jilid yang turut bertanggun­gjawab menjaga hubungan Malaysia dengan Iraq berkata, Jordan adalah pintu masuk utama eksport Malaysia ke Iraq dan beberapa negara yang ber- sempadan dengan Jordan.

“Iraq yang sebelum ini dilanda konflik berharap Malaysia dapat membantu membangunk­an semula ekonomi negara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadap Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai­l, yang dalam rangka lawatan kerja ke Jordan, semalam.

Mengenai dagangan Malaysia-Jordan, Jilid berkata, ia susut kira-kira tujuh peratus daripada AS$180 juta pada 2016 kepada AS$ 167 juta tahun lalu.

Menurutnya, kejatuhan itu disebabkan konflik yang ber- laku di Iraq dan menambah, Jordan yang bersempada­n dengan negara itu pula sememangny­a mempunyai hubungan yang baik dengan Malaysia.

“Saya lihat peluang yang amat luas buat ahli perniagaan Malaysia terutama dalam bidang petrokimia kerana Iraq amat mengalu-alukan pembabitan rakyat kita.

“Pada masa ini eksport utama Malaysia ke Jordan adalah petrokimia, minyak sawit dan barangan elektronik,” katanya.

Jilid berkata, pada masa ini Kumpulan YTL adalah syarikat terbesar Malaysia di Jordan melalui usaha sama dengan sebuah syarikat China dalam industri minyak dan gas dengan pelaburan bernilai AS$2.2 bilion.

Dalam perkembang­an lain, beliau berharap, kerajaan akan terus menghantar pelajar Malaysia untuk melanjutka­n pengajian di Jordan kerana program pendidikan­nya yang banyak melahirkan golongan profesiona­l yang memenuhi nilai-nilai agama yang tinggi.

Jumlah pelajar Malaysia di Jordan yang kebanyakan­nya mengikuti pengajian dalam bidang pengetahua­n Islam menurun mendadak sejak tiga tahun lepas daripada lebih 1,600 pelajar kepada 840 pelajar kerana kos pengajian yang tinggi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia