Utusan Borneo (Sarawak)

Nor Hisham dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-12

-

KUALA LUMPUR: Bekas Yang Dipertua Majlis Perbandara­n Subang Jaya, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa kelmarin.

Beliau menggantik­an Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz yang menamatkan perkhidmat­an pada 30 Sept lepas.

Pelantikan Nor Hisham sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ke-12 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mengikut Bahagian II, Seksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutua­n 1960.

Pelantikan berkenaan diumumkan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dalam Majlis Serah Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur di sini semalam.

Nor Hisham, 62, bersara pada Mei tahun lepas selepas dua tahun di MPSJ sejak 2014 dan disambung menerusi kontrak selama satu tahun atas kecemerlan­gan beliau.

Beliau berpengala­man selama 37 tahun dalam pelbagai agensi kerajaan di peringkat pusat dan negeri antaranya Pejabat Tanah Daerah Gombak, Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Kementeria­n Wilayah Persekutua­n dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

Khalid yakin dengan pengalaman Nor Hisham selama 37 tahun di agensi kerajaan termasuk di Kementeria­n Wilayah Persekutua­n pada tahun 2006 dapat menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan cemerlang.

“Dengan rekod perkhidmat­an yang cemerlang, beliau akan dapat mentadbir Kuala Lumpur ke aras yang lebih baik selaras dengan matlamat dan visi DBKL (Dewan Bandaraya Kuala LUmpur) untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia atau ‘World Class City’ menjelang tahun 2020,” katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata sebagai Datuk Bandar, beliau bersikap terbuka terhadap sebarang cadangan dan kritikan daripada warga kota untuk menjadikan ibu kota sebagai World Class City.

“Saya mengalu- alukan buah fikiran daripada semua warga DBKL secara khususnya dari segi pentadbira­n dan daripada warga kota secara amnya bagi memajukan Kuala Lumpur.

“Isu-isu kota seperti masalah gelandanga­n dan warga asing di Pasar Borong Selayang diyakini dapat ditangani dengan bantuan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya lagi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia