Utusan Borneo (Sarawak)

Lesen pengusaha kantin sekolah yang cuai boleh ditamatkan

-

KUALA LUMPUR: Kementeria­n Pendidikan boleh mengambil tindakan tegas untuk menamatkan lesen pengusaha kantin sekolah atau menukar pengendali kantin sekiranya terbukti kejadian keracunan yang berlaku di sekolah berpunca kerana mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata tindakan susulan hanya boleh diambil selepas menerima laporan penuh hasil siasatan yang dijalankan oleh Kementeria­n Kesihatan terhadap kes berkenaan.

“Laporan daripada Kementeria­n Kesihatan adalah penting sebelum Kementeria­n Pendidikan boleh memutuskan bentuk tindakan dan langkah yang perlu diambil. Tindakan juga boleh diambil oleh Kementeria­n Kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia 2018 dan Sumbangan Susu Sekolah kepada Murid-murid Sekolah Rendah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasil siasatan bagi kejadian keracunan makanan melibatkan pelajar asrama dan harian di Asrama Kompleks Seri Bintang dan kantin Sekolah Menengah Seri Bintang Utara pada minggu lepas.

Premis dapur asrama dan kantin sekolah berkenaan ditutup sementara di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan siasatan lanjut dan disinfeksi.

Ahad lepas, Pengetua SMK Seri Bintang Utara, Sapura Amat pula berkata dapur asrama dan kantin sekolah telah beroperasi semula pada 27 Sept lepas setelah pegawai kesihatan berpuas hati dengan hasil siasatan yang dilakukan terhadap 10 pelajar terbabit dan 82 pelajar lain yang mengalami muntah-muntah dan cirit-birit. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia