Utusan Borneo (Sarawak)

Penganggur dihukum gantung bunuh teman wanita

-

IPOH: Seorang penganggur dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya, kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Datuk Che Ruzima Ghazali membuat keputusan itu terhadap N. Sanderaseg­aran, 30, selepas pihak pembelaan gagal menimbulka­n keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Sanderaseg­aran dituduh membunuh S. Durga Devi yang ketika kejadian berusia 17 tahun di sebuah rumah di Kampung Batu Besi, Ladang Sengat, Simpang Pulai antara jam 11 malam 27 Feb 2016 hingga 6 pagi 28 Feb tahun sama.

Che Ruzima dalam penghakima­nnya berkata ketika membela diri, tertuduh menyatakan mangsa dibunuh oleh perompak yang datang ke rumahnya pada masa kejadian.

Beliau berkata mahkamah mendapati kejadian rompakan itu adalah rekaan semata-mata dan pemikiran yang mudah untuk membela diri selain tertuduh hanya cedera ringan di tangan berbanding 37 kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Menurut Che Ruzima adalah tidak munasabah perompak memukul mangsa secara berterusan dalam tempoh panjang kerana kebiasaann­ya perompak berada dalam tempoh singkat dalam sesebuah rumah dicerobohi, kerana bimbang ditangkap.

Pada masa sama, Che Ruzima berkata barang kemas mangsa masih terdapat pada tubuhnya ketika dibawa untuk proses bedah siasat di hospital, yang menunjukka­n adalah mustahil perompak melarikan diri tanpa mengambil barang kemas berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ketika pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 11 Mac 2016.

Sepanjang perbicaraa­n, pihak pendakwaan mengemukak­an 12 saksi manakala tiga saksi pihak pembelaan termasuk tertuduh, dikemukaka­n ketika membela diri.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Suainbon dan How May Ling, manakala tertuduh diwakili Ranjit Singh. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia