Utusan Borneo (Sarawak)

Penduduk Kuching Family Park dapat surau baharu bernilai RM2.1 juta

-

KUCHING: Penduduk Kuching Family Park di sini, akan dapat menunaikan ibadat dalam keadaan lebih selesa tidak lama lagi apabila surau baharu yang bernilai RM2.1 juta di kawasan mereka siap dibina hujung tahun ini.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi berkata projek pembinaan surau yang diberi nama Surau Ar Rahman Kuching Family Park itu sudah bermula pada 26 Disember 2017 dan dijangka siap sepenuhnya 25 Disember tahun ini.

Setakat ini katanya, pembinaan surau baharu itu berada pada tahap 60 peratus.

“Apabila siap nanti, surau ini mampu memuatkan sekitar 400 jemaah dalam satu-satu masa,” katanya ketika melawat projek pembinaan Surau Ar Rahman Kuching Family Park di sini, semalam.

Menurut Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, surau tersebut amat diperlukan penduduk taman perumahan terbabit memandangk­an surau sedia ada hanya mampu memuatkan kurang 200 jemaah.

“Taman ini mempunyai hampir 2,000 penduduk beragama Islam.

“Justeru bagi menangani masalah ini dan pada masa sama mahu memberi kemudahan yang lebih baik untuk umat Islam di sini, maka kita mengambil keputusan membina surau baharu ini,” katanya.

Tambahnya, surau yang dibina di atas tanah seluas 1.5 ekar itu mempunyai pelbagai kemudahan seperti stor, pejabat, bilik imam dan ruang sembahyang.

“Kita harap dengan siapnya surau ini nanti, ia akan menjadi mercu tanda penyatuan dan perpaduan masyarakat di sini, di samping menjadi pusat untuk mendalami ilmu agama,” katanya.

 ??  ?? SURAU BAHARU: Dr Abdul Rahman meninjau tapak projek pembinaan Surau Ar Rahman Kuching Family Park di Kuching, semalam.
SURAU BAHARU: Dr Abdul Rahman meninjau tapak projek pembinaan Surau Ar Rahman Kuching Family Park di Kuching, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia