Wanita berkenaan pernah membidas siasatan tidak telus, bomba membuat dakwaan tidak benar
KUALA LUMPUR: Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan dan bekas suaminya direman tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan kes bunuh suaminya itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata wanita berumur 43 tahun itu ditahan di Taman Tun Dr Ismail dekat sini pada kira-kira jam 2.15 pagi semalam.
“Isteri arwah ditahan selepas tangkapan pertama dibuat ke atas seorang lelaki berumur 43 tahun yang juga bekas suaminya. Lelaki itu ditahan di Sepang pada jam 1 pagi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.
Beliau berkata perintah reman ke atas kedua-dua individu itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Pada 15 Ogos lepas, akhbar tempatan melaporkan wanita itu membidas badan penyiasat yang didakwa tidak telus dalam menjalankan siasatan kes kematian suaminya serta menuduh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat dakwaan tidak benar mengenai kes tersebut.
Mengulas mengenai dakwaan itu, Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid pada 16 Ogos dilapor- kan berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan dan penyiasatan kes itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
JBPM terutama pasukan forensik dan penyiasatan yang menjalankan siasatan kes itu secara terperinci kemudian menyerahkan laporan kepada polis untuk tindakan selanjutnya kerana hasil siasatan menunjukkan terdapat unsur jenayah.
Mohammad Hamdan juga dilaporkan berkata keputusan diumumkan berdasarkan hasil siasatan, namun JBPM tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai laporan siasatan berhubung kes itu kepada keluarga mangsa atau orang ramai kerana telah menyerahkannya kepada polis dan dikhuatiri akan menjejaskan siasatan.
Pada 14 Jun lepas, Nazrin dilapor meninggal dunia akibat terhidu asap selepas kebakaran akibat telefon bimbitnya yang sedang dicas meletup di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara, Selangor. — Bernama
Isteri arwah ditahan selepas tangkapan pertama dibuat ke atas seorang lelaki berumur 43 tahun yang juga bekas suaminya. Lelaki itu ditahan di Sepang pada jam 1 pagi. SAC Fadzil Ahmat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor