Warga Amerika bunuh bekas isteri dihukum gantung
KUALA LUMPUR: Seorang bekas perunding kejuruteraan di sebuah syarikat telekomunikasi dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh bekas isterinya, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Mickleson Gerald Wayne, 63, warganegara Amerika selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Tertuduh yang diwakili peguam K.A Ramu didakwa membunuh Guilda Mickelson, 62, juga warga Amerika dalam bilik sebuah hotel di Lingkaran Syed Putra, Brickfields, di sini antara jam 5 pagi hingga 11.45 pagi, 26 Nov 2016 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Hakim Azman dalam penghakimannya, berkata tertuduh ketika pembelaan- nya mengatakan dia cuba mempertahankan dirinya daripada diserang si mati, namun keterangannya itu gagal menimbulkan keraguan munasabah.
“Pakar patologi telah memberi keterangan bahawa si mati mengalami kecederaan pada bahagian leher dan beberapa kecederaan di kepala, berdasar keterangan (patalogi), si mati maut akibat dicekik sehingga mengalami kecederaan di struktur leher.
“Selepas mengambil kira kesemua bukti yang telah dikemukakan, saya dengan ini mendapati kamu bersalah sebagaimana pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan saya, menjatuhkan kamu, hukuman gantung sampai mati,” katanya.
Mickleson yang memakai baju T berkolar berwarna ungu kelihatan tenang selepas mahkamah menjatuhkan hukuman itu dan dia juga dilihat memeluk dan mencium seorang wanita. — Bernama