Tiada halangan bagi kenderaan Brunei, Indonesia di bawah VEP
MIRI: Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai rancangan untuk menghalang kenderaan asing dari Brunei dan Indonesia yang tidak menjelaskan saman mereka daripada meninggalkan negara ini di bawah sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP).
Kementerian itu dalam maklum balasnya kepada Utusan Borneo semalam memberitahu, VEP hanya dikuatkuasakan untuk kenderaan dari Singapura tidak lama lagi.
Di bawah sistem itu, kenderaan asing dengan saman trafik yang tidak dijelaskan akan dihalang daripada meninggalkan negara ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Isnin, sambil menambah bahawa langkah itu akan bermula apabila negara melaksanakan sistem VEP di sempadannya mulai tahun ini.
Kementerian akan mempertimbang beberapa pendekatan yang akan digunakan termasuk melaksanakan sistem VEP di sempadan negara dengan Singapura.
Kenderaan yang memasuki Malaysia akan dicaj RM20 dan kerajaan juga mendaftarkannya di bawah VEP supaya apabila ia bermula, kenderaan dengan saman yang tidak dijelaskan tidak boleh meninggalkan negara.
Fasa pertama VEP akan bermula di sempadan Malaysia dengan Singapura tahun ini, diikuti sempadan dengan Thailand pada peringkat kedua.
Sehubungan itu, Utusan Borneo menghubungi ke- menterian itu untuk mendapatkan penjelasan sama ada halangan itu juga terpakai ke atas kenderaan asing dari Brunei dan Indonesia yang memasuki Sarawak.
Agensi penguatkuasaan seperti bahagian polis trafik sentiasa menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas kenderaan asing di jalan-jalan raya Malaysia, terutama di Miri dan Limbang untuk mengesan kenderaan yang mempunyai saman tidak dibayar dan tertunggak.