Tiada anjing dilemaskan ketika membanteras rabies
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyelar sebuah akhbar tempatan kerana melaporkan berita tidak disahkan, mendakwa Kerajaan Sarawak bertindak kejam ke atas haiwan dalam usaha membanteras rabies.
“Saya kecewa membaca laporan berita mengatakan petugas yang diarah menangkap anjing liar melemaskan haiwan itu, setahu saya terdapat prosedur operasi standard (SOP) untuk Jabatan Veterinar ketika memindahkan haiwan liar.
“Ia tidak melemaskan anjing-anjing berkenaan kerana ia sangat tidak berperikemanusiaan. Jika perkara seperti ini berlaku, kita akan mengambil tindakan terhadap pelakunya,” katanya pada temu bual eksklusif bersama The Borneo Post di pejabatnya semalam.
Sehubungan itu Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah telah mengunjungi Makmal Diagnostik Veterinar Negeri (SVDL) di Kota Samarahan bersama ketua editor surat khabar berkenaan.
Tujuan kunjungan itu ialah untuk mendapatkan maklumat yang tepat serta berlaku adil kepada staf yang dituduh bertindak kejam terhadap haiwan berkenaan.
“Semasa kunjungan itu, kami menjemput penulis artikel tersebut, James Ritchie melihat sendiri situasi di SVDL di Kota Samarahan,” jelas Uggah.
Beliau berkata mereka diberi taklimat oleh pegawai SVDL mengenai SOP pemindahan haiwan liar disasarkan dan yakin dakwaan itu benarbenar palsu.
“Tidak ada anjing liar dilemaskan seperti didakwa penulis. Tidak ada bukti mana-mana anjing dilemaskan dan tidak ada tangki air seperti didakwa di dalam laporan berita itu.
“Satu-satunya tangki air di dalam premis itu ialah tangki penapis air untuk membekalkan air bersih ke makmal,” katanya.
Uggah menegaskan bahawa Jabatan Veterinar Sarawak mematuhi protokol yang sangat ketat.
“Kita mahu memastikan kepada orang ramai khususnya pemilik anjing, SOP akan sentiasa dipatuhi.
“Jabatan Veterinar tidak pernah menggunakan kaedah yang kejam untuk menamatkan riwayat anjing,” tegasnya.
Uggah berkata beliau kesal dengan tindakan surat khabar berkenaan menerbitkan berita tidak dapat disahkan, boleh dianggap menghasut dan menyebabkan kekecohan dalam kalangan masyarakat yang menyayangi haiwan.
“Kami kesal dengan tindakan surat khabar ini kerana menerbitkan laporan yang tidak bertanggungjawab seperti itu, tanpa fakta- fakta disahkan.
“Ia boleh menyebabkan orang ramai marah dan cemas terutama pemilik- pemilik anjing,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar ( JPV) Sarawak Dr. Adrian Susin Ambud yang hadir sama pada temu bual itu memberitahu beliau akan membuat laporan polis pada hari sama (semalam), bimbang laporan berita itu akan membahayakan kakitangannya.