KGBS menggesa KPM kaji semula tugas-tugas bebankan guru
SIBU: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia ( KPM) mengkaji semula tugas-tugas yang membebankan guru khususnya tugas tidak penting.
Presidennya Ahmad Malie berkata guru hari kini dibebani dengan kerja terlalu banyak sehingga boleh menyumbang kepada masalah tekanan.
“KGBS mengetengahkan isu ini memandangkan tugas mesti segera dilakukan oleh guru apabila persekitaran infrastruktur kurang kondusif.
“Selain itu, terdapat tugas bukan pengajaran harus dilakukan oleh seorang guru,” katanya mengulas pendedahan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek di Dewan Negara bahawa kajian terhadap guru menunjukkan 4.4 peratus daripada 48.258 responden atau kira-kira 2,000 guru mengalami tekanan tahap sederhana.
Maszlee berkata, beberapa faktor menyumbang kepada tekanan kalangan guru adalah beban keluarga, kewangan, pentadbiran atau kerja, kekurangan kemahiran menjalankan tugas mereka dan tidak dilatih menangani masalah tekanan.
“KGBS minta kementerian duduk semeja dengan kesatuan guru bagi membincangkan isu itu secara holistik dan komprehensif agar masalah dapat ditangani lebih cekap,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan holistik mengenai isu tekanan diperlukan kerana boleh memberi kesan kepada guru pada masa depan dan menjadi masalah besar bagi kementerian.
Sementara itu, berhubung isu ini Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan kementerian memperkenal garis panduan mempromosikan penjagaan kesihatan mental semua sekolah dan mematuhi peruntukan ditetapkan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.