Syarikat gagal siap projek baiki paip kumbahan di Likas ditamat kontrak
KOTA KINABALU: Kerajaan memutuskan untuk menamatkan serta-merta kontrak syarikat yang diberi amanah untuk membaik pulih paip kumbahan najis di Likas.
“Kontrak syarikat ini ditamatkan serta-merta bermula hari ini,” kata Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony yang mengadakan lawatan mengejut di lokasi paip kumbahan najis yang mengalami kerosakan di Likas, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, projek bernilai RM3.4 juta itu gagal disiapkan oleh syarikat yang dilantik berkenaan mengikut jadual ditetapkan sehingga menjejaskan lebih 70,000 penduduk, di sini.
“Kerja-kerja ini (membaik pulih paip kumbahan najis) telah diberikan secara lantikan terus oleh kerajaan terdahulu dan sepatutnya hanya mengambil masa tiga bulan untuk diselesaikan.
“Bagaimanapun, hasil pemantauan yang kita jalankan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), projek ini telah lambat dengan kadar sebanyak 28 peratus,” katanya
Peter berkata, kelewatan syarikat terdahulu yang tidak menyiapkan kerja-kerja terbabit mengikut jadual ditetapkan bukan saja berisiko membawa wabak penyakit, malah ianya juga mencemarkan bandar raya Kota Kinabalu.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan melantik kontraktor baharu yang mampu menyelesaikan permasalahan itu dan kerja-kerja dijangka bermula minggu depan.
“Kerosakan paip kumbahan najis di Likas ini telah mengakibatkan najis-najis yang sepatutnya dihantar ke pusat rawatan di Inanam tidak dapat dilakukan, ia membabitkan kira 60 hingga 80 ribu penduduk, daripada Kepayan hingga ke Likas.
“Seperti kita lihat tadi, najis-najis terkeluar akibat kerosakan paip berkenaan, ini sesuatu yang tidak baik dan mencemarkan Kota Kinabalu yang sering menjadi tumpuan pelancong,” katanya.