Indeks harga pengguna Jun meningkat 0.8% kepada 119.6
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia, yang mengukur keseluruhan inflasi, meningkat 0.8 peratus tahun ke tahun kepada 119.6 pada Jun 2018.
Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan semalam berkata sejumlah 168,000 sebut harga yang diperoleh daripada 21,800 peniaga di seluruh Malaysia menunjukkan penurunan dalam semua kumpulan utama kecuali kumpulan pengangkutan yang mencatatkan 5.5 peratus pada Jun 2018 (Mei 2018: +3.8 peratus), terutamanya bagi subkumpulan bahan api dan pelincir untuk pengangkutan persendirian yang meningkat 10.2 peratus berbanding Mei 2018 (+5.3 peratus).
Peningkatan kumpulan pengangkutan adalah disebabkan oleh harga bahan api yang lebih tinggi pada Jun 2018 berbanding tempoh yang sama tahun lepas, di mana harga RON95 berada pada RM2.20 pada Jun 2018 (Jun 2017: RM2), RON97 pada RM2.58 (Jun 2017: RM2.27) dan diesel pada RM2.18 (Jun 2017: RM1.92).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata: “buat pertama kalinya, dalam tempoh 40 bulan IHP mencatatkan nilai di bawah 1.0 peratus pada Jun 2018.”
Penurunan harga barangan dan perkhidmatan disumbang oleh beberapa faktor yang termasuk pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan yang berkadar sifar mulai 1 Jun, jualan murah oleh peniaga sempena sambutan perayaan dan pelaksanaan skim kawalan harga bagi 22 barang terpilih sepanjang Jun 2018.
Mohd Uzir juga berkata perbandingan bulan ke bulan, IHP turun 1.2 peratus berbanding Mei 2018 disebabkan oleh penurunan dalam semua kumpulan utama.
Antara kumpulan utama yang menunjukkan penurunan adalah indeks bagi pelbagai barangan dan perkhidmatan (-3.1 peratus), komunikasi (-3.0 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (-2.9 peratus) pakaian dan kasut (-2.6 peratus), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-2.4 peratus) dan makanan dan minuman bukan alkohol (-1.0 peratus).
Dalam masa yang sama, JabatanPerangkaanjugamelaporkan secara keseluruhan, tiga negeri melepasi paras IHP nasional 0.8 peratus yang dicatatkan pada Jun 2018, iaitu Negeri Sembilan (+1.1 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang masing-masing mencatatkan 0.9 peratus. — Bernama