Komunikasi penting tingkatkan kesedaran pekerja terhadap isu, cara mengendalikan risiko serta bahaya di tempat kerja
MIRI: Komunikasi amat penting dalam meningkatkan kesedaran pekerja terhadap isu dan cara mengendalikan risiko serta bahaya di tempat kerja.
Timbalan Pengarah Urusan Dayang Enterprise Sdn Bhd (DESB) Joe Ling Siew Loung berkata, melatih pekerja tentang penjagaan keselamatan diri sebenarnya tidak memadai.
Sehubungan itu, amat penting pekerja menyedari bahasa komunikasi atau bahasa keselamatan ketika berdepan dengan sebarang risiko di tempat kerja.
“Proses komunikasi keselamatan diibaratkan seperti lampu isyarat di jalan raya, anda perlu merancang destinasi, bertindak balas dengan isyarat serta mengubah laluan mengikut keperluan.
“Ia memakan masa namun paling penting pekerja memahami dan menyedari kepentingan keselamatan di tempat kerja dalam mengurangkan kemalangan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Kempen Kualiti, Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (QHSSE) di Eastwood Valley Golf & Country Club, semalam.
Joe berkata, soal keselamatan pekerja bukan perkara yang boleh dipandang mudah sebaliknya ia adalah tanggungjawab semua pihak termasuk DESB.
Sehubungan itu, kempen itu sejajar dengan matlamat syarikat untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kecederaan di lokasi kerja.
“Kita mahu mewujudkan budaya atau amalan yang selamat di tempat kerja, seter-
Proses komunikasi keselamatan diibaratkan seperti lampu isyarat di jalan raya, anda perlu merancang destinasi, bertindak balas dengan isyarat serta mengubah laluan mengikut keperluan. Joe Ling Siew Loung Timbalan Pengarah Urusan DESB
usnya meminimumkan dan mengurangkan risiko kemalangan melibatkan pekerja,” ujarnya.
Sempena kempen QHSSE itu, turut diadakan aktiviti membersih pantai di Miri, derma darah di Bintulu, pertandingan golf kebajikan, pertandingan hilang berat badan, lawatan ke sekolah angkat di Lambir dan lawatan ke lokasi kerja di Labuan, Kota Kinabalu, Bintulu dan luar pantai.
Joe berkata, aktiviti membersihkan pantai di Marina Central Park sudah dilaksanakan pada 30 Jun dan program seterusnya iaitu derma darah di ibu pejabat DESB di Labuan pada 4 Julai dan 4 Ogos di Kota Kinabalu serta lawatan ke Bank Darah Bintulu.
DESB turut melawat sekolah angkat iaitu Sekolah Kebangsaan ( SK) Lambir dan program setengah hari itu bertujuan meningkatkan kesedaran bahaya dan risiko di sekolah dalam kalangan pelajar tahun empat hingga tahun enam.
Hadir sama ialah pengerusi Penganjur QHSSE Patrick Leong serta lebih 100 kakitangan DESB, swasta dan agensi kerajaan.