Rizab kewangan kerajaan dibelanja secara berhemah
Tidak dibelanja tanpa alasan yang kukuh, memastikan ia untuk manfaat Sarawak, generasi akan datang: KM
KUCHING: Sarawak mengambil pendekatan berhatihati dalam perbelanjaan rizab kewangan kerajaan menerusi proses yang sangat ketat.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak tidak akan terburu-buru membelanjakan rizab kewangannya tanpa alasan kukuh kerana mahu memastikannya dibelanja untuk manfaat Sarawak dan generasi akan datang.
“Kita perlu melindungi rizab ini, dengan memastikan ia dilabur dalam pelaburan yang produktif.
“Sebelum ini ada yang mencadangkan rizab kewangan ini seharusnya diletakkan sebagai ‘dana berdaulat’ dengan melabur dalam bentuk kertas dan aset syarikat dan negara asing.
“Kita juga boleh menggunakan rizab kewangan ini untuk membangunkan ekonomi kita sendiri menerusi pelaburan dalam projek yang memberi pulangan komersial baik dan berisiko minimum,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Mesyuarat Pertama, Bagi Penggal Ketiga DUN, Ke-18 berakhir semalam selepas mula bersidang 9 Julai lalu.
Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi berkata rizab kewangan negeri, yang merupakan sebahagian daripada pendapatan petroleum, dikumpulkan untuk tujuan melindungi Sarawak.
Dalam perkembangan sama beliau berkata selain politik, Kerajaan Sarawak memberi tumpuan kepada pembangunan sektor ekonomi.
“Dalam ekonomi dua aspek yang tidak boleh diabaikan ialah pembangunan dan pertumbuhan.
“Dalam pembangunan, fokus kita ialah memastikan se- mua komuniti mendapat akses kepada kemudahan asas.
“Dalam pertumbuhan ekonomi, fokus kita pula, semua komuniti mendapat akses kepada infrastruktur asas untuk pengeluaran dan eksport dan pada masa sama memperkukuhkan pertumbuhan serta meningkatan pendapatan rakyat,” katanya.
Menyentuh pembangunan luar bandar, Abang Johari berkata masih ada kawasan yang belum menikmati infrastruktur asas dan antara faktornya dasar kerajaan persekutuan sebelum ini, memberi peruntukan pembangunan berdasarkan saiz penduduk.
Katanya penduduk Sarawak hanya 10 peratus daripada populasi rakyat Malaysia.
“Pembangunan di Sarawak sangat mencabar, pertama kerana keluasan negeri ini, kedua terdapat banyak kampung kecil serta berselerak di pedalaman Sarawak, ketika ini kira-kira 5,000 kampung.
“Peruntukan pembangunan ini, mungkin mencukupi untuk projek-projek sosial tetapi jelas sekali tidak mencukupi bagi membangunkan kawasan yang luas iaitu 38 peratus daripada keluasan Malaysia,” jelasnya.
Justeru beliau berkata kerajaan persekutuan mesti menambah peruntukan pembangunan sekurang-kurangnya empat kali ganda untuk Sarawak. Peruntukan tambahan itu akan membolehkan Sarawak mempercepatkan lagi kerja menaik taraf infrastruktur di luar bandar termasuk jalan, bekalan air terawat, elektrik, Internet, sekolah, klinik perubatan dan program pertanian serta ekonomi.
Kita perlu melindungi rizab ini, dengan memastikan ia dilabur dalam pelaburan yang produktif. Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg Ketua Menteri