Utusan Borneo (Sarawak)

Enam aksi persahabat­an Malaysia sebagai persiapan hadapi Piala AFF

-

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya, dijadual menghadapi enam perlawanan persahabat­an antarabang­sa ‘A’ sebagai persiapan menghadapi perlawanan Piala Persekutua­n Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohamad Amin berkata skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan menentang Fiji pada 5 Julai di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras diikuti perlawanan dengan Taiwan pada 7 September di Taipei.

Kemudian, pasukan negara itu akan ke Phnom Penh pada 10 Okt bagi menentang Kemboja dan Sri Lanka di Colombo pada 12 Okt sebelum perlawanan dengan Republik Kyrgyz, 16 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Hamidin berkata satu lagi perlawanan persahabat­an antarabang­sa ‘A’ turut dirancang pada 3 November di Kuala Lumpur tetapi pasukan lawannya masih belum disahkan iaitu sebagai ujian terakhir sebelum skuad ke Phnom Penh bagi aksi sulung Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 bertemu Kemboja pada 8 November.

“Enam perlawanan persahabat­an antarabang­sa ‘A’ ini bakal menjadi pentas terbaik bagi memperbaik­i lagi kedudukan semasa Malaysia di tangga 171 dunia dalam ranking FIFA, selain sebagai medan ujian buat Cheng Hoe mempersiap­kan pasukannya menjelang Piala AFF Suzuki 2018 .

“Semoga perancanga­n teliti yang diatur ini dapat menghasilk­an keputusan positif buat skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2018. Sama-sama kita doakan supaya kejayaan cemerlang dapat diraih Malaysia pada edisi kali ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pasukan negara diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan Myanmar, Laos, Kemboja dan juara edisi 2008, Vietnam pada edisi Piala AFF Suzuki kali ini bermula 8 November hingga 15 Disember ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia