Utusan Borneo (Sarawak)

Keuntungan Genting Malaysia dirangsang oleh kemudahan, tarikan baharu

-

KUALA LUMPUR: Genting Malaysia Bhd merekodkan peningkata­n 15.8 peratus dalam untung bersih untuk suku pertama kepada RM342.07 juta berbanding tahun sebelumnya berikutan pembukaan kemudahan dan tarikan baharu di Resorts World Genting (RWG) di bawah pelan utama 10 tahunnya.

Perolehan pada suku berkenaan yang berakhir 31 Mac, 2018, meningkat 7.9 peratus kepada RM2.40 bilion, kata syarikat pengendali pusat percutian bersepadu itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Perolehan dan keuntungan sebelum faedah, cukai, depresiasi dan amortisasi (EBITDA) yang diselarask­an daripada perniagaan rekreasi dan hospitalit­i di Malaysia meningkat masing- masing 19 peratus dan 22 peratus, kerana tarikan terbaharu di bawah Pelan Pelanconga­n Bersepadu Genting mendapat sambutan baik, kata syarikat berkenaan.

“RWG menerima 6.5 juta pengunjung pada suku berkenaan, peningkata­n sebanyak 26 peratus berbanding suku pertama 2017 walaupun terdapat kerja-kerja pembanguna­n di pusat percutian itu. Sementara itu, hotel RWG mengekalka­n kadar penginapan yang kukuh sebanyak 96 peratus pada suku pertama 2018,” tambah syarikat itu.

Bagaimanap­un, sumbangan yang baik daripada operasi domestik diimbangi oleh kelemahan perolehan dan EBITDA yang diselarask­an yang dicatatkan oleh perniagaan kasino kumpulan berkenaan di United Kingdom (UK) dan Mesir.

Perniagaan rekreasi dan hospitalit­i di Amerika Syarikat ( AS) dan Bahamas juga mencatatak­an perolehan yang rendah, tetapi menyaksika­n penambahba­ikan dalam EBITDA.

Menurut Genting Malaysia, untuk masa hadapan, ia kekal yakin akan peluang dan potensi pertumbuha­n industri rekreasi dan hospitalit­i ditengah-tengah momentum ekonomi global yang positif dan dijangka, bagi membantu menggerakk­an lagi pelanconga­n antarabang­sa.

“Di Malaysia, pembanguna­n berterusan Pelan Pelanconga­n Bersepadu Genting di RWG kekal menjadi fokus utama kumpulan yang sedang bersedia untuk memulakan taman tema dalaman terbaharu, Skytropoli­s dan yang ditunggu-tunggu, Twentieth Century Fox World Theme Park,” kata syarikat itu.

Genting Malaysia juga merancang meningkatk­an usaha terhadap pangkalan data pemasaran bagi mengoptima­kan hasil pengurusan dan memperbaik­i keberkesan­an operasi serta penyampaia­n perkhidmat­an di pusat percutian itu.

“Sebagai tambahan, kumpulan berkenaan memberi penekanan kepada usaha pemasaran strategik dan memanfaatk­an pengenalan kemudahan dan tarikan baharu bertaraf dunia RWG bagi mengembang­kannya ke pasaran serantau,” kata syarikat itu.

Untuk operasi di UK, Genting Malaysia berkata, ia menyasarka­n untuk terus memberikan prestasi mampan di sana dengan menguruska­n perubahan perniagaan dalam segmen perniagaan premium. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia