Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan iktiraf FDI yang sumbang kepada kemajuan negara: Jomo

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan mengiktira­f kepentinga­n pelaburan langsung asing ( FDI) dan pindahan teknologi dari luar negara, kata pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram.

Beliau berkata Malaysia menghargai pelaburan yang memberi sumbangan kepada kemajuan negara, seperti telekomuni­kasi 5G, aplikasi kecerdasan buatan, teknologi kewangan, tenaga boleh diperbahar­ui, ubatan baharu dan kenderaan elektrik.

“Kerajaan baharu jelas menyokong pelaburan perindustr­ian yang produktif, terutamany­a dengan komitmen Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mempercepa­tkan kemajuan teknologi Malaysia,” katanya dalam sepucuk surat kepada Financial Times.

Jomo, yang juga salah seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan berkata selepas kemerdekaa­n negara pada 1957, kerajaan Malaysia sentiasa mempelawa FDI masuk ke negara ini.

“Membawa perbahasan politik negara tentang pelaburan dari China berisiko mengeliruk­an banyak pihak.

“Sebagai contoh, projek Laluan Rel Pantai Timur ( ECRL) yang bernilai RM67 billion (AS$17 bilion) tidak berdaya maju dari segi ekonomi dan kos yang melangkaui bajet bagi projek besar seumpama itu adalah satu norma antarabang­sa,” katanya.

Jomo berkata projek ECRL bukan pelaburan dari China, tetapi merupakan pinjaman yang amat besar dari bank eksport- import China bagi 85 peratus daripada kos yang diunjurkan bagi terma- terma keutamaan, sambil menambah ramai rakyat juga membantah projek tersebut dan juga liabiliti hutang berkaitann­ya.

“Projek tersebut diberikan oleh kerajaan sebelum ini kepada sebuah syarikat China tanpa sebarang persaingan, apatah lagi proses yang telus, dengan pelbagai keistimewa­an khusus termasuk pengecuali­an cukai.

“Pada 9 Mei, rakyat Malaysia telah menunjukka­n dengan jelas pendirian mereka menolak FDI tidak bertanggun­gjawab dan hutang yang meragukan yang boleh membebanka­n dan meruntuhka­n ekonomi, namun tentangan terhadap projek tersebut bukan bermakna bantahan keseluruha­n terhadap pelaburan dari China,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia