Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga rakan sekerja dipenjara, didenda miliki harta curi milik majikan

-

PETALING JAYA: Tiga rakan sekerja termasuk seorang wanita dihukum penjara dan didenda oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki harta curi iaitu pelbagai barangan elektronik milik majikan mereka.

Majistret Nurshahira­h Abd Salim menjatuhka­n hukuman penjara enam hari terhadap penyelia stor, Suzanna Mohamed, 33, empat bulan penjara terhadap Mat Juri, 24, seorang warga Indonesia dan denda RM2,000 terhadap R. Ravindran, 30, kerana memilki harta curi antaranya sebuah kipas, lapan kotak lampu LED, sebuah pokok krismas dan satu set pembesar suara milik Syarikat Geserad Sdn Bhd.

Mahkamah memerintah­kan kesemua tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 18 Mei lepas dan tujuh hari penjara terhadap Ravindran jika gagal membayar denda.

Semasa ditanya Nurshahira­h mengapa mereka melakukan perbuatan tersebut, Mat Juri berkata dia terpaksa kerana majikan tidak membayar gaji dan tidak mempunyai wang untuk membeli susu anak.

“Anak saya terpaksa minum air gula dan saya melakukan perbuatan itu kerana terpaksa,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Nurshahira­h turut menasihati kesemua tertuduh supaya berfikir sebelum bertindak serta tidak menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk mencuri.

Mereka melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Blok A16, Flat Puchong Permai, Jalan Taman Puchong Permai, di sini, pada 3 petang, 18 Mei mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Suzanna dan Mat Juri masing-masing didenda RM2,000 atau tujuh hari penjara selepas mereka mengaku bersalah atas satu pertuduhan melakukan khianat iaitu dengan cara memecahkan meja dan bekas simpanan barang serta membengkok­kan besi dalam stor syarikat tersebut.

Mereka melakukan kesalahan itu di stor kilang Geserad Sdn Bhd, di Jalan Intan 1, Puchong Intan, Puchong, di sini, pada 12.30 tengah malam, 12 Mei lepas mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau keduaduany­a.

Mat Juri turut dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan iaitu selama tiga tahun sejak 13 Feb 2015 dan kesalahan itu dilakukann­ya di Blok A13, Flat Puchong Permai, Jalan Taman Puchong Permai, di sini, pada 2 pagi, 18 Mei.

Pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara yang boleh sampai lima tahun atau kedua-duanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia