Sumbangsih Kuih Raya diteruskan
Kerajaan negeri mempunyai sumber yang mencukupi bagi tujuan mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah
KUCHING: Semua bantuan kebajikan termasuk bantuan bulanan untuk rakyat yang kurang bernasib baik dan miskin di negeri ini akan diteruskan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri mempunyai sumber yang mencukupi bagi tujuan itu.
“Semua bantuan kebajikan termasuk bantuan bulanan kepada golongan miskin di negeri ini akan diteruskan, jika kerajaan persekutuan menghentikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangsih Kuih Gawai/Raya 2018 di Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini semalam.
Abang Johari berkata untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah di negeri ini kerajaan turut menurunkan kadar premium tanah sebanyak 50 peratus untuk Skim Penempatan Semula dan Skim Pembesaran Kampung bagi lot-lot kediaman berkeluasan 13 point.
Beliau berkata penurunan kadar premium itu bermakna pemilik tanah hanya perlu membayar RM2,500 berbanding RM5,000 satu lot sebelum ini berkuat kuasa 6 Mei 2018.
“Ini adalah antara langkah kerajaan negeri untuk meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.
“Di kawasan (penempatan semula) penduduk yang terlibat boleh membayar premium tanah mereka, RM2,500 secara ansuran dalam tempoh 10 tahun iaitu hanya RM250 setahun,” jelasnya.
Beliau menambah, di bawah pendekatan baharu it kerajaan negeri akan membangunkan infraktruktur bermula dari penembukan tanah, pembinaan jalan, parit dan lampu jalan sebelum pembinaan rumah dilakukan.
Katanya pendekatan itu telah dilaksanakan di Skim Penempatan Semula Sungai Midin dan Sungai Bedaun dekat sini serta di Kemuyang Sibu.
“Jadi pesara kerajaan termasuk veteran tentera boleh membeli rumah dan hanya membayar kos rumah kerana pembangunan infrastruktur dilakukan serta ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan neg- eri,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya Abang Johari berkata kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan kepada kerja-kerja kebajikan dan ia akan diteruskan di bawah kepimpinan beliau serta menteri kabinet hari ini.
Beliau berkata bagi tujuan itu kerajaan negeri akan terus memberi peruntukan untuk kerja-kerja kebajikan di negeri ini, menyedari ia satu-satunya khidmat yang harus diberikan kepada golongan memerlukan bantuan.
Menurutnya kerajaan negeri berpegang teguh kepada falsafah ‘kalau kita memberi Tuhan akan memberi lebih banyak lagi’.
“Oleh sebab itu kerajaan negeri, Insya-Allah akan mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh.
“Ini sudah tentu akan membolehkan kita meneruskan usaha-usaha kebajikan untuk rakyat di Sarawak,” katanya.
Mengenai majlis itu, Abang Johari berkata ia merupakan cara untuk kerajaan negeri menghargai sumbangan serta pengorbanan anggota pasukan keselamatan dan agensi-agensi penguatkuasaan di Sarawak yang bertugas semasa musim perayaan.
Katanya ketika orang lain meraikan Gawai dan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan sahabat handai, anggota pasukan keselamatan dan agensiagensi penguatkuasaan terpaksa berkhidmat demi kedaulatan serta keselamatan negara.
“Tahniah dan syabas kepada Dato Sri Fatimah (Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak) serta pasukannya kerana dapat menyumbang sedikit sebanyak kuih kepada anggota keselamatan dan agensi penguatkuasaan di negeri ini khasnya yang berkhidmat semasa musim perayaan kali ini,” katanya.
Abang Johari turut memak- lumkan bahawa kerajaan negeri sedia mempertimbangkan tambahan peruntukan bagi meneruskan sumbangsih kuih raya pada tahun depan jika jumlah agensi yang menerima sumbangan berkenaan bertambah.
Tahun ini 10 agensi menerima sumbangsih kuih raya iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia ( PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamatan Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Negeri Sarawak (JPNS), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia ( JIM) Negeri Sarawak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Semua bantuan kebajikan termasuk bantuan bulanan kepada golongan miskin di negeri ini akan diteruskan, jika kerajaan persekutuan menghentikannya. Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg Ketua Menteri