Utusan Borneo (Sarawak)

Pengakuan Lim bukti DAP miliki pengaruh besar dalam PH: Fadillah

-

KUCHING: Pengakuan terbuka Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng melantik Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen sebagai menteri jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) membuktika­n parti itu mempunyai pengaruh besar dalam pakatan pembangkan­g.

Berbeza dengan cara Barisan Nasional (BN), Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof memberitah­u, kuasa mutlak untuk memilih menteri kabinet terletak pada perdana menteri atau presiden parti.

“Kita (BN) hanya mencadangk­an nama-nama individu yang difikirkan layak dalam barisan kabinet persekutua­n.

“Bagaimanap­un, kuasa pelantikan terpulang kepada perdana menteri dengan keizinan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Fadillah berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Peralatan ‘In-Kind Contributi­on’ (IKC) Peserta Ternak Ikan Tilapia Sangkar dan Pelepasan Benih Ikan di Sungai Sarawak, Kampung Paroh di sini, semalam.

Beliau berkata, janji DAP untuk melantik Chong sebagai menteri kabinet menggambar­kan parti itu mempunyai pengaruh besar dalam PH.

“Ini yang saya katakan dalam konteks pakatan pembangkan­g (PH) yang sebenarnya berkuasa adalah DAP.

“Bagi saya, parti-parti lain yang bersekongk­ol hanya boneka sahaja,” kata calon BN Parlimen Petra Jaya itu.

Dalam laporan media yang dikeluarka­n pada 29 April lalu, Guang Eng memaklumka­n akan mencadangk­an pelantikan Chong yang juga pengerusi PH Sarawak sebagai menteri kepada Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad jika parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRU14 ini.

Guan Eng berkata, untuk itu rakyat di Parlimen Stampin harus memainkan peranan terlebih dahulu dengan memberi kemenangan kepada Chong di konstituen­si tersebut.

“Kalau PH dapat merampas Putrajaya, sudah pasti kita memerlukan wakil dari Sarawak dan Sabah.

“Jika Chong dipilih sebagai Ahli Parlimen Stampin, saya akan rekomen kepada Tun Mahathir untuk melantik beliau dalam kabinet,” kata Guan Eng dalam program ceramah PH di sebuah kedai kopi di Jalan Lapangan Terbang di sini.

Chong akan berdepan dengan calon BN Datuk Dr Sim Kui Hian yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak (SUPP) pada PRU14, 9 Mei ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia