Pengurangan defisit fiskal bukti kejayaan pembaharuan fiskal kerajaan
KUALA LUMPUR: Pengurangan defisit fiskal secara berterusan sejak 2009 membuktikan kejayaan pembaharuan fiskal yang dilaksanakan oleh kerajaan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, di samping mengekalkan disiplin dan berhemat dalam pengurusan kewangan untuk mencapai sasaran belanjawan hampir seimbang menjelang 2020, kerajaan juga akan terus mengutamakan program dan projek yang berteraskan rakyat dan berimpak tinggi.
“Keutamaan akan diletakkan pada penciptaan hasil yang maksimum, pengurangan ketirisan dan peningkatan nilai dalam perbelanjaan, dengan penekanan kepada penyediaan perkhidmatan penting kepada rakyat, terutamanya dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan dan bantuan bersasar,” kata Johari di dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2017, yang dilancarkan di sini kelmarin.
Laporan tahunan ini dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan.
Johari berkata tinjauan masa hadapan, kerajaan akan juga meningkatkan fokus kepada generasi masa hadapan, mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan keterangkuman.
“Gabungan usaha-usaha ini akan memperkukuhkan lagi asas dan daya tahan ekonomi negara, sejajar dengan dasar transformasi ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi dan menuju matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk meletakkan Malaysia sebagai antara negara 20 teratas di dunia dari segi perkembangan ekonomi, kemajuan sosial dan inovasi,” kata beliau.
Dalam melaksanakan kawalan perbelanjaan, Johari berkata sejak 2010, kerajaan secara berperingkat merasionalisasikan subsidi untuk beralih daripada subsidi menyeluruh kepada pemberian bantuan bersasar yang membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan melalui usaha seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Laporan itu turut menyatakan sehingga akhir 2017, lebih RM26 bilion dalam bentuk bantuan tunai secara langsung di bawah BR1M telah diberikan kepada lebih tujuh juta individu dan keluarga dalam golongan 40 peratus berpendapatan terendah (B40) dan usaha ini juga tertumpu kepada meningkatkan keterangkuman dalam ekonomi Malaysia.
Johari berkata dalam memastikan pengurusan kewangan kerajaan yang berdisiplin, kerajaan juga membiayai perbelanjaan operasi melalui hasil kerajaan manakala pinjaman hanyalah bertujuan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan.
“Oleh demikian, nisbah hutang kerajaan berbanding keluaran dalam negara kasar pada 2017 telah menurun kepada 50.8 peratus daripada 52.7 peratus pada 2016,” katanya. — Bernama