Beri KP baharu di Sabah: UPKO
KOTA KINABALU: Pemuda UPKO menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Jabatan Imigresen diarahkan untuk melakukan imbasan kad pengenalan secara rawak di pintu keluar masuk berlepas ke Semenanjung, bagi mengesan penggunaan kad pengenalan palsu.
Ketua Pemuda UPKO Pusat Arthur Sen berkata, ia juga bertujuan mencegah ancaman keselamatan khususnya ahli Islamic State (IS) yang mendapat kad pengenalan palsu di Sabah dapat berlepas ke Semenanjung Malaysia atau ke tempat lain.
“Kenyataan ini jelas memperakui bahawa wujudnya sindiket pemalsuan kad pengenalan dan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang asing di Sabah juga mengakui terdapat sindiket sedemikian dan ada PATI yang memperolehinya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, UPKO juga telah membuat kajian tentang ‘Projek IC’ dan sindiket pemalsuan kad pengenalan itu dan telah menghantar laporan kepada Panel RCI sewaktu sesi bersidang.
“Saya melihat perkara mengenai kad pengenalan palsu sudah lama dibangkitkan. Hari ini saya membaca surat khabar dan timbul tanda tanya dalam fikiran saya iaitu jika tujuan imbasan rawak ini adalah bagi mencegah ahli Islamic State keluar dari Sabah, bagaimana pula mereka yang berada di Sabah? Ini sudah pasti mendedahkan kami yang tinggal di Sabah kepada ancaman keselamatan domestik oleh penganas ini.
“Seperkara lagi yang timbul ialah bagaimana pula dengan mereka yang tinggal dan beranak cucu di Sabah? Kita juga mempunyai masalah kanakkanak yang tidak mempunyai kewarganegaraan. Pada masa kini, mereka sudah menjadi dewasa atau remaja. Bagaimanakah hendak menyelesaikan masalah ini?” katanya.
Arthur berkata, Pemuda UPKO memohon agar pihak kerajaan segera mengambil tindakan. Kewujudan mereka yang kemungkinan sudah ramai dan pasti tidak dapat diselesaikan melalui kaedah imbasan rawak di pintu masuk keluar Sabah sahaja khususnya melalui udara kerana negeri ini mempunyai sempadan laut yang luas.
“Untuk menyelesaikan perkara ini secara tuntas, Pemuda UPKO mohon mengulangi agar pihak kerajaan segera melaksana pemberian kad pengenalan (KP) baharu di Sabah seperti yang disampaikan bekas Presiden UPKO, Tan Seri Bernard Dompok dan disusuli Pemangku Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau,” katanya.